
BELGRADE: ‘Penyembelih Bosnia’, Ratko Mladic yang disabitkan dengan jenayah perang kerana peranannya dalam pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada 1995, meninggal dunia di hospital pada Khamis, menurut sebuah tribunal antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mladic, yang mengalami beberapa strok sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di The Hague, Belanda kerana genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Beliau yang merupakan ketua tentera Serb Bosnia telah mengetuai pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica, tindakan pertumpahan darah terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Sabitan terhadapnya atas pembunuhan semasa perang ketika bekas Yugoslavia dilanda pertumpahan darah selepas kejatuhan komunisme menyebabkan media menggelarnya sebagai ‘Penyembelih Bosnia’.
Perang pada 1992 hingga 1995 itu mengorbankan kira-kira 100,000 orang dan menyebabkan 2.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Mladic merupakan wajah ketenteraan bagi tiga tokoh utama yang terlibat dalam konflik kejam itu, bersama bekas presiden Yugoslavia, Slobodan Milosevic dan bekas pemimpin Serb Bosnia, Radovan Karadzic.
Pegawai kerajaan Serbia dan keluarga Mladic sebelum ini merayu supaya beliau dibebaskan atas faktor kesihatan yang semakin merosot tetapi tribunal The Hague menolak rayuan tersebut. – AFP
The post ‘Penyembelih Bosnia’ meninggal dunia appeared first on Utusan Malaysia.



