liza05/01/2026 - 11:37 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Jan – Hasil yang diperolehi daripada penyenaraian Sunway Healthcare Holdings (SHH) dijangka digunakan semula ke dalam bahagian lain Sunway Bhd yang menguntungkan termasuk sektor hartanah, menurut Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research).
HLIB Research berkata Sunway dijangka memperolehi hampir RM900 juta daripada penyenaraian SHH yang boleh disalurkan semula ke dalam pelaburan lain yang mempunyai potensi pulangan tinggi dalam kumpulan.
“Laluan paling jelas setakat ini adalah ke dalam segmen hartanah kumpulan, termasuk pembangunan aset strategik di Sunway City Iskandar Puteri dan projek pembangunan berorientasikan Sistem Transit Rapid (RTS) di Bukit Chagar, Johor,” kata HLIB dalam nota kajiannya.
SHH dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang Mac 2026 dan penyenaraian ini akan menyaksikan pegangan Sunway berkurangan daripada 84 peratus kepada kira-kira 69.5 peratus.
Pada masa ini, Greenwood Capital Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura memegang 16 peratus kepentingan dalam SHH sebelum penyenaraian.
HLIB Research menjangkakan Sunway akan terus mencatat pertumbuhan keuntungan pada tahun kewangan 2026 disokong oleh hospital baharu yang mula menguntungkan serta pertumbuhan kukuh dalam segmen hartanah.
ARTIKEL BERKAITAN: Sunway Healthcare fail permohonan IPO di Pasaran Utama bagi biayai sebahagian pengembangan lebih RM1.6 bilion
Walaupun penyenaraian berlaku, firma penyelidikan itu tidak menjangkakan sebarang pencairan keuntungan pada FY26.
Dari segi perakaunan, penyenaraian SHH akan menukar status syarikat itu daripada ekuiti bersekutu kepada anak syarikat, membolehkan pendapatan dan keuntungan SHH dikonsolidasikan sepenuhnya dalam penyata untung rugi Sunway, sekali gus memberikan ketelusan lebih tinggi terhadap operasi kesihatan kumpulan.
Bagi pemegang saham Sunway, syarikat akan mengagihkan saham SHH melalui dividen-in-specie dengan nisbah satu SHH bagi setiap 10 saham Sunway.
HLIB Research menganggarkan nilai dividen-in-specie ini sekitar 18 sen sesaham, bersamaan hasil dividen 3.2 peratus.
Jika digabungkan dengan dividen tunai FY26 sebanyak 10.7 sen sesaham, jumlah hasil dividen dijangka mencapai kira-kira 5.1 peratus.
HLIB Research mengekalkan saranan beli terhadap Sunway, berpendapat bahawa penyenaraian SHH dan penggunaan semula hasilnya akan terus menyokong pertumbuhan kumpulan dalam sektor kesihatan dan hartanah. - DagangNews.com

