liza05/01/2026 - 09:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Jan – Cadangan Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) untuk membeli sebuah hartanah perindustrian bina dan sewa di Senai, Johor pada harga RM34.6 juta dijangka memberi sumbangan pendapatan sederhana namun berupaya meningkatkan pendapatan untuk tempoh jangka masa panjang, menurut BIMB Research.
Firma penyelidikan itu menganggarkan pendapatan sewaan kasar sekitar RM2.49 juta setahun sebelum kenaikan sewaan berperingkat, berdasarkan sewaan awal RM207,653 sebulan yang diumumkan oleh Axis-REIT.
“Dengan mengambil kira margin pendapatan bersih hartanah sebanyak 87 peratus dan kos hutang sekitar 4 peratus, pendapatan boleh agih tambahan bersih dianggarkan kira-kira RM0.78 juta setahun.
“Ini bersamaan sekitar 0.039 sen agihan seunit (DPU) sekiranya pengambilalihan dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Menurut BIMB Research, pengambilalihan hartanah di Senai itu dijangka memberi kesan terhad kepada kedudukan kewangan Axis-REIT memandangkan pembiayaan akan dibuat menggunakan kemudahan kredit sedia ada.
“Nisbah penggearan dijangka meningkat secara minimum daripada 32.95 peratus setakat 30 September 2025 kepada 33.72 peratus selepas pengambilalihan diselesaikan.
“Memandangkan penyempurnaan urus niaga hanya disasarkan pada suku keempat tahun kewangan 2027, BIMB Research menjangkakan nisbah penggearan Axis-REIT dalam tempoh terdekat kekal secara amnya tidak berubah,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Axis-REIT cadang ambil alih hartanah perindustrian di Senai bernilai RM34.6 juta
Pada 31 Disember 2025, pemegang amanah Axis-REIT, RHB Trustees Bhd telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Banyan Estate Malaysia Sdn Bhd bagi pengambilalihan sebuah kilang dua tingkat lengkap dengan bangunan pejabat dan bangunan sokongan lain.
Hartanah yang masih dalam pembinaan itu akan disewa sepenuhnya oleh FCI Connectors Malaysia Sdn Bhd untuk tempoh tetap lima tahun dengan opsyen lanjutan lima tahun.
FCI merupakan pengeluar penyambung dan komponen berasaskan penyambung serta penyewa sedia ada Axis-REIT.
Aset berkenaan akan dibangunkan di atas tanah pajakan dengan baki tempoh 60 tahun sehingga 2 Disember 2069 dengan keluasan tanah kira-kira dua ekar dan keluasan boleh sewa dianggarkan sekitar 115,363 kaki persegi, tertakluk kepada pengukuran akhir selepas siap dibina.
BIMB Research menyifatkan urus niaga ini sebagai pengambilalihan yang telah mempunyai komitmen sewaan sejak awal, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan dan mengurangkan risiko kekosongan.
Lokasi hartanah yang berhampiran Lapangan Terbang Senai, Lebuhraya Laluan Kedua dan Lebuhraya Senai-Desaru turut dijangka membantu mengekalkan penyewa dalam tempoh sederhana.
Sehubungan itu, BIMB Research mengekalkan saranan beli terhadap Axis-REIT dengan harga sasaran RM2.17, selari dengan strateginya untuk menambah aset perindustrian berkualiti tinggi serta memastikan aliran pendapatan yang stabil dalam jangka panjang. - DagangNews.com

