Penyerapan kos tarif timbal balas, PublicInvest ramal untung VS Industry susut pada FY26

09/10/2025 - 09:59
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 9 Okt - VS Industry Berhad diramal berdepan tekanan margin dalam tempoh terdekat susulan langkah kumpulan menyerap sebahagian kos tarif timbal balas bagi mengekalkan penguasaan pasaran di Amerika Syarikat (AS), kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, langkah kumpulan itu dilihat akan terus menekan margin kumpulan bagi tahun kewangan 2026 (FY26) tetapi keadaan dijangka bertambah baik selepas pelanggan utama kembali mencatatkan keuntungan yang lebih stabil.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar tarif timbal balas Malaysia kini telah ditetapkan pada 19%, sekali gus memberikan kejelasan yang lebih baik terhadap aliran pesanan pada suku-suku akan datang.
"Susulan faktor tekanan margin, kami menurunkan unjuran pendapatan FY26 kira-kira 15% dengan pelarasan terhadap andaian margin kasar kepada bawah 3%, mencerminkan jangkaan pemulihan keuntungan yang lebih perlahan.
"Walaupun pesanan baharu menunjukkan peningkatan pada suku pertama FY26, kebergantungan tinggi VS terhadap pelanggan dari AS dijangka mengekang kadar pemulihan pendapatan kumpulan, berikutan keadaan ekonomi AS yang lebih perlahan," katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest berkata, bagi FY26, Pelanggan X dijangka terus menjadi penyumbang utama dengan anggaran hasil RM1.3 bilion, disokong model produk yang telah disahkan dan berada dalam pengeluaran.
Katanya, operasi di Malaysia dan Filipina masing-masing dijangka menyumbang 62% dan 38% daripada jumlah ini, melibatkan dua kategori utama — produk penjagaan kecantikan dan penjagaan lantai, yang merangkumi lebih 85% kapasiti pengeluaran di setiap lokasi.
Baki pesanan terdiri daripada dua model penjagaan alam sekitar yang dihasilkan eksklusif di Malaysia. Semua model telah memasuki fasa pengeluaran seperti dijadualkan — malah ada yang lebih awal.
"Selepas mengambil kira semua faktor, kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) 59 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard
