VS Industry 'korban' keuntungan demi kekalkan pelanggan utama di AS - CGS International

07/10/2025 - 09:31
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Okt - Strategi penurunan harga yang dilaksanakan VS Industry Berhad bagi mengekalkan pelanggan utama di Amerika Syarikat (AS) diramal menjejaskan margin keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata CGS International.
Katanya, margin kumpulan dijangka susut sehingga 4% bagi tahun kewangan 2026 hingga 2008 (FY26 hingga FY28) berikutan keputusan pengurusan berkongsi beban tarif dengan pelanggan susulan pelaksanaan tarif timbal balas kerajaan AS.
"Beberapa pelanggan utama di AS meminta pembekal termasuk VS Industry menurunkan harga bagi mengimbangi kesan tarif baharu dan pihak pengurusan memilih untuk menuruti permintaan itu demi memastikan kesinambungan hubungan jangka panjang," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun langkah tersebut dianggap berhemah dan strategik bagi mengekalkan bahagian pasaran dan mengelak kehilangan pelanggan kepada pesaing serantau, namun penyusutan keuntungan akan menjadi lebih ketara pada FY26 dan FY27, meskipun pendapatan dijangka meningkat masing-masing 14% dan 8% tahun ke tahun.
Sementara itu katanya, VS Industry sudah memulakan pengeluaran di Filipina untuk Pelanggan X (yang menyumbang kira-kira 40% hasil kumpulan pada FY24) sejak Mei 2025, dan dijangka menambah model kedua menjelang Disember 2025.
Menjelang FY27, sumbangan Pelanggan X dijangka meningkatkan hasil VS Industry sebanyak 30% berbanding paras FY25.
Namun, CGS International berkata, sumbangan kepada margin masih kecil dalam jangka pendek kerana kos bahan mentah, logistik dan peralatan sokongan yang tinggi, walaupun kos buruh lebih rendah berbanding Malaysia.
“Margin hanya dijangka pulih secara beransur-ansur mulai separuh kedua FY26 apabila kemudahan pemasangan di Filipina beroperasi sepenuhnya tanpa sokongan dari Malaysia,” katanya.
Katanya, kemudahan di Filipina tetap menjadi komponen penting dalam strategi pengembangan kumpulan, terutamanya kerana produk Pelanggan X tertumpu kepada pasaran eksport AS.
Berikutan tekanan margin akibat perkongsian beban tarif, firma penyelidikan itu menurunkan unjuran keuntungan bersih bagi FY26–FY28 antara 22% hingga 24% tetapi mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) 55 sen sesaham.- DagangNews.com
standard
