Penyertaan MJHL 2025 melonjak

3 Jul 2025 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasukan PHJ-MSNJ merupakan juara baru MJHL edisi tahun lalu. Foto MHC

PENYERTAAN Liga Remaja Hoki Malaysia (MJHL) 2025 yang bermula minggu depan melonjak ke paras tertinggi apabila 63 pasukan mengesahkan penyertaan berbanding 49 skuad pada edisi lalu.

Lonjakan tersebut bukan sekadar angka tetapi gambaran jelas bahawa usaha pembangunan di peringkat negeri dana akar umbi mula menunjukkan hasil yang positif.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Anil Sandhu yang memaklumkan peningkatan itu berpunca daripada gabungan dua faktor utama.

Beliau berkata, ia menunjukkan minat yang semakin berkembang dalam kalangan pemain remaja serta iltizam negeri-negeri untuk melahirkan lebih ramai bakat muda dalam sukan hoki.

“Minat itu sebenarnya sudah lama wujud dan semakin membara. Kini kita lihat negeri-negeri tampil lebih aktif untuk mengetengahkan pemain baharu.

"Sebab itu penyertaan meningkat secara signifikan,” katanya dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.

Kejohanan berkenaan dijadual bermula 7 Julai hingga 23 Ogos depan melibatkan seramai 1,386 pemain.

Malah Anil turut menyifatkan penyertaan sebanyak 63 pasukan sebagai satu pencapaian luar biasa dalam sejarah MJHL.

“Saya gembira kerana dari 49 ke 63 pasukan itu bukan peningkatan kecil, ia lambang bahawa ekosistem hoki remaja kita semakin subur.

"Ini satu perkembangan positif untuk hala tuju jangka panjang buat hoki negara,” katanya.

Mengulas mengenai faktor di sebalik gelombang minat ini, Anil menekankan bahawa usaha pembangunan akar umbi di peringkat negeri tidak boleh dipandang ringan apatah lagi apabila ia disokong kuat oleh ibu bapa.

“Kita beri kredit kepada kedua-duanya, negeri dan ibu bapa. Pembangunan negeri berjalan lancar dan dalam masa sama, ibu bapa semakin menyokong anak-anak mereka untuk bermain hoki,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved