Penyusunan semula Capital A, AirAsia X untuk keluar daripada PN17 adalah seperti memulakan semula syarikat - Tony Fernandes
azan
21/06/2023 - 10:10
PARIS 21 Jun - Penyusunan semula Capital A Berhad dan AirAsia X Berhad untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) adalah sesuatu yang besar seperti langkah untuk memulakan semula syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya yakin dengan langkah itu kerana selepas COVID-19, mereka berjaya bangkit semula dan mengkuhkan kedudukan jenama itu dalam arena penerbangan.
Katanya, Jun dan Julai adalah bulan yang sangat penting kerana ia akan menentukan kedudukan mereka.
"Langkah ini adalah besar dan sangat penting kepada kami.
"Tidak ramai yang berjaya keluar daripada status PN17 sebelum ini tetapi saya percaya kami boleh melakukannya," katanya ketika ditemui selepas Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2023 (Skytrax), di sini.

Capital A sebelum ini mengumumkan bahawa ia sedang menjalankan semakan kewangan interim sebagai sebahagian daripada penilaian pelan penyelarasan status Nota Amalan 17 (PN17).
Kumpulan itu, yang jatuh ke dalam status PN17 pada 14 Januari 2022, mempunyai masa sehingga 7 Julai ini untuk mengemukakan cadangan pelan penyelarasannya untuk keluar daripada status itu.
Sementara itu, AirAsia X Berhad (AAX) juga sedang dalam penyediaan rancangan penetapan untuk keluar daripada status PN17. Tarikh akhir penyerahan AAX ialah 28 Julai ini.
Pada 9 Mei, AAX, yang jatuh ke dalam status PN17 pada 27 Oktober 2021, telah diberikan lanjutan tiga bulan tambahan untuk menyerahkan pelan penyusunan semulanya. - DagangNews.com



