Peragut sebabkan mangsa cedera dipenjara 8 tahun

7 Apr 2023 • 12:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan satu sebatan kerana menyebabkan kecederaan kepada seorang remaja perempuan ketika menyamunnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu kepada Sharulnizam Ahmad yang mengekalkan pengakuan bersalahnya, apabila kesnya dikemukakan untuk fakta dan hukuman pada Khamis.

Sharulnizam telah menyebabkan kecederaan kepada gadis berusia 16 tahun itu ketika menyamun telefon bimbitnya pada jam 8 malam 15 Jan tahun ini, berhampiran Kedai Lucky Store di Sulaman Central, dekat sini.

Kesalahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Sharulnizam menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.

Semasa rayuan, Sharulnizam yang tidak diwakili, meminta hukuman ringan dengan mengatakan dia perlu menjaga ibunya yang sudah tua.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara atas sebab Sharulnizam telah menyamun mangsa berusia 16 tahun, yang mengalami trauma susulan kejadian itu.

Najihah berkata, hukuman itu bukan sahaja untuk memberi pengajaran kepada Sharulnizam tetapi juga kepada orang ramai.

Dia menambah kelaziman kes itu juga perlu dipertimbangkan.

Mahkamah diberitahu bahawa gadis itu dan rakan-rakannya sedang menunggu pemandu e-hailing untuk menghantar mereka pulang ke rumah, apabila sebuah kereta dipandu lelaki tidak dikenali berhenti di hadapan mereka.

Pemandu itu yang kemudiannya dikenali sebagai Sharulnizam berpura-pura mahu meminjam telefon bimbit gadis itu dan ketika gadis itu mendail nombor yang diberikan Sharulnizam, dia tiba-tiba meragut telefon itu dan melarikan diri dari situ.

Remaja itu cuba melawan Sharulnizam dan merebut balik telefon bimbitnya tetapi tidak berjaya.

Ketika kejadian, remaja itu mengalami kecederaan di muka, badan dan kaki akibat terjatuh ke atas jalan.

Mangsa kemudian menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 dan membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Susulan laporan itu, Sharulnizam ditahan pada 19 Jan tahun ini dan telefon bimbit itu diperolehi semula.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.