
Kota Kinabalu: Seorang warga Filipina yang memegang dokumen IMM13 didenda sejumlah RM10,000 kerana membenarkan dua pendatang tanpa izin (PTI) tinggal di premisnya.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azrun Sakandal selepas dia mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya pada Selasa.
Mohd Azrun didapati membenarkan dua warga Filipina berusia 20 dan 23 tahun, yang tidak mempunyai sebarang dokumen, berada di premis itu pada 11.28 malam pada 26 Jan tahun ini di bilik sewa di Rumah Kedai Segama, Jalan Tun Razak, di sini.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 55E(2) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda antara RM5,000 dan RM30,000, atau kedua-duanya, bagi setiap pendatang tanpa izin terbabit. Mahkamah memerintahkan Mohd Azrun membayar denda RM5,000 atau penjara sebulan bagi setiap pendatang tanpa izin terbabit.
Mohd Azrun diperintahkan membayar RM1,000 selewat-lewatnya Selasa manakala bakinya perlu dijelaskan pada atau sebelum 26 Jun tahun ini.
Semasa rayuan, Mohd Azrun memohon hukuman ringan kerana dia telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan memohon denda itu dibayar secara ansuran.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Norizan Awang Tanda dari Jabatan Imigresen menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran bukan sahaja kepada Mohd Azrun tetapi orang ramai.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
