Melaka belum dalam keadaan memerlukan catuan air

LocalEnvironment
28 Mar 2026 • 3:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ab Rauf

MELAKA - Kerajaan Melaka memantau rapat perkembangan paras air di tiga empangan di negeri ini dan berdasarkan situasi semasa belum ada keperluan catuan air dilaksanakan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bekalan air ketika ini masih berada pada tahap terkawal dan sebarang perkembangan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Kita sedang memantau kedudukan paras air di empangan-empangan di Melaka dan setakat ini kita belum berada dalam keadaan yang memerlukan pelaksanaan catuan air.

“Saya akan mendapatkan maklumat daripada Badan Kawal Selia Air dari semasa ke semasa dan perkembangan berkaitan keperluan penjimatan air akan dimaklumkan apabila perlu,” katanya ketika mengulas situasi bekalan air susulan keadaan cuaca panas ketika ini.

Beliau ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerajaan negeri berjaya mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 35 peratus melalui langkah mengawal tekanan air pada waktu malam.

“Langkah ini telah lama dilaksanakan, ia membantu mengurangkan pembaziran air serta meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air.

“Sekiranya cuaca panas berterusan, kita akan membuat pengumuman kepada rakyat dalam masa terdekat sekiranya terdapat keperluan untuk langkah lanjut,” katanya.