
IPOH 4 Dis - Perak melancarkan platform pelaporan digital perumahan negeri berasaskan geospatial, Hartanah@Perak yang membolehkan maklumat pembangunan perumahan di seluruh negeri dipaparkan secara lebih terperinci, telus dan mudah dicapai.
Platform tersebut dibangunkan melalui kerjasama UPEN (PerakGIS) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) ini memeta dan memprofilkan projek perumahan.
Ia meliputi perancangan, status pembinaan, lokasi, kategori perumahan serta kedudukan projek sakit dan projek terbengkalai.
Menteri Besar, Dato' Seri Saarani Mohamad berkata, melalui platform ini kerajaan negeri dapat memantau pencapaian sasaran perumahan Perak Sejahtera 2030 dengan lebih komprehensif.

Katanya, ini sekali gus menyediakan sumber rujukan yang jelas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agensi teknikal dan orang awam.
“Selaras dengan usaha tersebut, kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pengukuhan perkongsian dan integrasi data merentas jabatan serta agensi negeri bagi memastikan pengurusan data spatial menyokong perancangan dan pemantauan pembangunan dengan lebih efektif.
“Pendekatan ini penting untuk memastikan platform Hartanah@Perak berfungsi secara optimum dan menyokong usaha menjadikan Perak sebuah negeri yang moden, berdaya saing serta dipacu oleh penggunaan data dan teknologi,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Pelancaran platform Hartanah@Perak ini disempurnakan oleh Saarani sempena Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025 di sini semalam.
Ia merupakan edisi kedua program dwi tahunan yang memberi tumpuan kepada pengukuhan penggunaan data spatial dalam pembangunan negeri.


Bertemakan ‘GIS Nadi Transformasi Sosioekonomi Berdaya Tahan’, program ini mengangkat kepentingan teknologi geospatial sebagai asas kepada keputusan berasaskan data dalam sektor perumahan, keselamatan, kesihatan awam dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Program ini turut menghimpunkan pakar-pakar geospatial serta menampilkan pameran pelbagai agensi dan jabatan berkaitan.
Antaranya PerakGIS, PDRM, Kementerian Kesihatan, Majlis Perbandaran Manjung dan JUPEM.
Ia sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem data spatial negeri di samping memperluas kefahaman terhadap potensi analitik geospatial dalam menyokong pembangunan negeri. - DagangNews.com



