Perak mohon peruntukan baiki Jalan Persekutuan

6 May 2023 • 1:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohammad Nizar menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ADUN Sungai Rapat di Taman Lapangan Jaya di Ipoh.

IPOH - Kerajaan Perak mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sebahagian daripada peruntukan RM250 juta yang diluluskan Kementerian Kewangan bagi penyelenggaraan berkala Jalan Persekutuan, dua minggu lalu.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, peruntukan itu diperlukan bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih beberapa laluan tumpuan Jalan Persekutuan di negeri ini termasuk Jalan Gerik-Jeli yang mengalami kerosakan teruk.

"Kita sudah buat permohonan itu awal sebaik sahaja perkara itu diumumkan Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kita mengikut prosedur dengan menghantar surat kepada kementerian itu.

"Daripada keseluruhan RM250 juta itu, kita mohon sebanyak mungkin kerana negeri-negeri lain pun buat permohonan juga. Kita justifikasikan dengan beberapa masalah yang menyebabkan jalan itu rosak.

"Kita juga minta Kementerian Kewangan beri keutamaan kepada Jalan Persekutuan di Perak khususnya Jalan Gerik - Jeli," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Padang Awam Taman Lapangan Jaya di sini pada Sabtu.

Media pada 18 April lalu melaporkan, Kementerian Kewangan menambah peruntukan RM250 juta bagi menangani masalah jalan raya.

Penambahan itu menjadikan peruntukkan keseluruhan penyelenggaraan berkala Jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Perak sebelum ini telah membuat permohonan menaik taraf laluan Gerik-Jeli bernilai RM80 juta namun, Kementerian Kerja Raya mendakwa bahawa tiada permohonan dikemukakan bagi menaik taraf jalan berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved