IPOH - Taiping akan dijadikan sebagai hab sukan udara dalam usaha memperkasa sektor pelancongan di Perak.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, kedudukan Taiping dalam daerah Larut, Matang dan Selama semakin menyerlah sebagai antara destinasi pelancongan berimpak tinggi.
Menurutnya, kelebihan landskap semula jadi serta kesesuaian lokasi juga menjadikan Taiping berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat aktiviti sukan udara di Perak.
“Kerajaan negeri akan terus memperkasa pembangunan produk pelancongan berasaskan udara di Taiping dengan aspirasi menjadikannya sebagai hab sukan udara yang mampu menarik lebih banyak acara, penggiat sukan serta pelancong,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
**media[3631651]**
Sze Yee berkata, bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan negeri melalui Tourism Perak turut memperkenalkan inisiatif 'Perak Stay & Explore' bagi menggalakkan pelancong tinggal lebih lama di negeri ini.
"Inisiatif ini melibatkan pemberian 2,000 baucar pelancongan bernilai RM40 kepada pelancong yang menginap sekurang-kurangnya satu malam di Perak sekali gus menggalakkan mereka meneroka lebih banyak destinasi," katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri mahu pelancong bukan sekadar berkunjung ke Ipoh, sebaliknya meneruskan perjalanan ke lokasi lain seperti Kuala Kangsar, Taiping, Lenggong, Gopeng, Kuala Sepetang dan Pulau Pangkor.
Sementara itu, Saarani berkata, generasi masa kini memikul tanggungjawab untuk membawa Malaysia menjadi lebih baik berbanding apa yang telah diwarisi.
Menurutnya, dalam dunia yang berubah pantas dengan perkembangan teknologi dan cabaran ekonomi semasa, kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata.
“Sebaliknya, ia banyak bergantung kepada kekuatan masyarakatnya, termasuk keupayaan untuk saling mempercayai, menerima perbezaan pandangan dan menolak prasangka,” katanya.
Beliau berkata, walaupun rakyat Malaysia berbeza kaum, agama dan latar belakang, semua berkongsi hasrat yang sama iaitu mahukan negara yang aman, keluarga yang bahagia serta masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
"Kemajuan sesebuah negara akan hilang makna sekiranya rakyatnya semakin jauh antara satu sama lain walaupun memiliki pembangunan moden dan ekonomi yang kukuh," katanya.
Terdahulu, Saarani bersama lebih 20,000 rakyat daripada pelbagai lapisan, menantikan detik 12 tengah malam untuk bersama-sama melaungkan laungan keramat 'Merdeka' sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Lagu kebangsaan Negaraku dan Jalur Gemilang kemudian dinyanyikan dengan penuh semangat sebelum malam penuh gemilang itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api.






