liza20/05/2026 - 12:48 KUALA LUMPUR 20 Mei – Sama seperti ramalan cuaca yang membantu orang ramai merancang rutin harian, daripada mengelakkan kesesakan trafik ketika hujan lebat sehinggalah menyusun aktiviti hujung minggu, kecerdasan buatan (AI) kini semakin dimanfaatkan dalam sektor tenaga untuk menjangkakan permintaan elektrik dan melengkapkan sistem bekalan tenaga lebih awal.
Bagi Tenaga Nasional Bhd (TNB), AI semakin menjadi nadi penggerak di sebalik grid tenaga yang lebih pintar, lebih selamat dan lebih cekap, ketika penyedia utiliti itu mengharungi cabaran sistem elektrik moden yang semakin kompleks.
Ketua Pegawai Digital dan Maklumat TNB, Azlan Ahmad berkata AI untuk tenaga pada asasnya adalah mengenai usaha memberikan keupayaan “otak dan mata” kepada grid tenaga supaya dapat menjangkakan, mengoptimumkan dan melindungi sistem dalam masa nyata.
Beliau berkata sistem bekalan tenaga tradisional seperti kereta manual, pemandu perlu membuat setiap keputusan, menukar setiap gear dan memerhatikan setiap tolok.
“Bagaimanapun, sistem tenaga hari ini jauh lebih kompleks, dengan beribu-ribu panel solar dan pengecas kenderaan elektrik (EV) yang semakin bertambah dan disambungkan kepada grid setiap hari.
“Ini menjadi semakin mencabar bagi manusia untuk mengurus sistem dengan cekap dalam masa nyata,” katanya.
Beliau berkata AI kini berfungsi seperti “pegawai ramalan cuaca untuk elektrik”, membantu TNB menjangkakan perubahan permintaan terhadap elektrik dan menyediakan sistem itu lebih awal.
“AI juga berperanan seperti GPS pintar, mencari laluan paling cekap untuk aliran tenaga, supaya tiada tenaga yang dibazirkan,” katanya.

Azlan berkata di samping meningkatkan kecekapan, AI turut membantu firma utiliti itu memperkukuh kebolehpercayaan serta keselamatan grid tenaga.
“AI ibarat pengawal keselamatan yang beroperasi 24 jam sehari, mampu mengesan tanda-tanda awal kerosakan pada kabel, malah juga sebelum gangguan sebenar berlaku,” katanya.
Beliau menyifatkan pembangunan “grid sedia AI” sebagai satu perubahan besar dalam cara sistem elektrik diuruskan, beralih daripada menyelesaikan masalah hanya selepas keadaan itu berlaku kepada mengesan risiko lebih awal seterusnya bertindak balas dengan lebih pantas.
Azlan berkata AI telah digunakan di seluruh operasi TNB, termasuk melalui alat yang mengenal pasti corak bekalan elektrik terputus untuk mengurangkan gangguan, sistem penyelenggaraan jangkaan untuk kabel bawah tanah serta penyelesaian kecerdasan visual untuk meningkatkan kualiti dan keselamatan lapangan.
“Ini merupakan peralihan asas daripada pendekatan reaktif, membetulkan isu selepas keadaan itu berlaku, kepada pendekatan proaktif yang membolehkan kami mengesan risiko lebih awal dan bertindak balas dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata AI juga telah membantu TNB mengenal pasti tanda-tanda tekanan dalam rangkaian tenaga sebelum bertambah buruk sehingga menjadi gangguan atau berlakunya kehilangan kuasa, di samping membolehkan jurutera mengesan kerosakan berulang dengan lebih cekap.
“Secara keseluruhan, AI memastikan sistem tenaga dapat beroperasi dengan kecekapan, kestabilan dan responsif yang tinggi.
“AI membolehkan kami cepat mengesan dan bertindak pantas,” katanya.

Beliau berkata selain meningkatkan kebolehpercayaan sistem, AI turut membantu pihaknya menentukan peralatan yang memerlukan penyelenggaraan berdasarkan keadaan sebenar, bukannya semata-mata mengikut jadual rutin justeru membolehkan sebarang isu ditangani lebih awal sebelum kerosakan berlaku.
Azlan berkata di peringkat rantau pula, asas digital itu juga akan memperhebat persediaan bagi inisiatif Grid Tenaga ASEAN pada masa hadapan, yang bertujuan memudahkan aliran elektrik rentas sempadan yang lebih selamat dan stabil di rantau ini.
“Berasaskan data dan kebolehlihatan sistem yang lebih baik, kami berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk menyokong aliran tenaga rentas sempadan yang selamat secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata peranan AI yang semakin berkembang dalam membentuk semula sistem tenaga akan menjadi antara perkara utama yang dibincangkan pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26), yang dilihat sebagai platform oleh TNB untuk menghubungkan inovasi teknologi dengan agenda peralihan tenaga Malaysia secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata ETCon26 merupakan kesinambungan kepada usaha yang dimulakan sejak edisi 2023, ketika Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dilancarkan, memperkukuh komitmen Malaysia ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Seiring dengan trend semasa global, tema ETCon26 adalah ‘Energy & AI: The Synergy for Energy Transition’, yang menumpukan kepada cara tenaga dan AI dapat disepadukan untuk membina masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata persidangan itu akan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama -- “Energy for AI”, “AI for Energy” dan “Energy Transition for People”.
“‘Energy for AI’ memberikan penekanan kepada langkah memastikan tenaga bersih menyokong dunia digital kita manakala ‘AI for Energy’ pula mengenai usaha menjadikan sistem bekalan tenaga lebih cekap dan boleh dipercayai.
“‘Energy Transition for People’ memastikan manfaat peralihan tenaga dapat dinikmati secara inklusif serta meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Azlan berkata ETCon26 turut berperanan sebagai platform untuk peserta industri dan orang ramai memahami dengan lebih mendalam mengenai cara inovasi teknologi menyokong usaha peralihan tenaga negara.
“Bagi peserta industri, ini merupakan peluang untuk melihat sendiri grid sedia AI beroperasi serta melaksanakan peranan dalam naratif tenaga ASEAN yang diterajui Malaysia.
“Bagi masyarakat umum pula, acara itu menjadi ruang untuk memahami cara inovasi dapat mengekalkan tenaga hijau pada harga mampu milik, selamat dan boleh dipercayai untuk kehidupan seharian,” katanya.
ETCon26 akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun, 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan persidangan itu pada hari kedua.
Pihak yang berminat boleh mendaftar menerusi laman sesawang persidangan di [www.the-etconference.com](http://www.the-etconference.com) serta menggunakan kod promosi ETCON26BERNAMA bagi menikmati tawaran istimewa. – BERNAMA



