
KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee menggesa pemilik hartanah supaya melaksanakan pengesahan identiti yang sewajarnya dan melakukan pemeriksaan berkala terhadap premis yang disewakan kepada penyewa.
Beliau berkata, pemilik premis memainkan peranan penting dalam membantu agensi penguat kuasa membendung kegiatan berkaitan penipuan dengan menjalankan semakan latar belakang terhadap bakal penyewa serta memantau premis mereka secara berkala.
“Apabila menyewakan premis, pemilik perlu melakukan pengesahan identiti yang sewajarnya dan menjalankan pemeriksaan berkala terhadap hartanah mereka.
“Pemilik juga perlu berwaspada terhadap penyewa yang enggan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi atau menandatangani perjanjian sewaan, mengelakkan interaksi dengan jiran atau menunjukkan corak kehidupan yang luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Yong turut memuji Polis Kontinjen Sabah yang diketuai Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun atas tindakan pantas dan tegas terhadap sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang membawa kepada penahanan 341 individu yang cuba bertapak di Sabah.
Beliau berkata, menerusi Ops Pelican yang dijalankan antara Januari hingga 8 Jun lalu, sebanyak 12 operasi dilaksanakan di Sabah dan Labuan, dengan pelbagai peralatan canggih termasuk penerima satelit serta aset bernilai RM1.1 juta dirampas.
Menurutnya, kejayaan operasi itu mengesahkan Sabah sedang berdepan rangkaian jenayah terancang yang sangat tersusun, sekali gus memberi mesej jelas bahawa negeri ini tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti haram sedemikian.
Bagaimanapun, beliau berkata kejayaan tersebut turut mendedahkan ancaman serius apabila sindiket yang kebanyakannya terdiri daripada warga asing memasuki negara ini menggunakan visa pelancong dan beroperasi secara terbuka dari banglo persendirian, hotel dan apartmen selama dua hingga tiga bulan sebelum dikesan.
“Dengan menyusup ke dalam komuniti kediaman kita, mereka telah meletakkan rakyat dalam keadaan berisiko dan mencemarkan reputasi Sabah.
“Kegiatan jahat ini mesti dibanteras sejak awal sebelum sindiket berkenaan bertapak kukuh kerana semakin lama mereka beroperasi, semakin sukar untuk ditumpaskan.
“Oleh itu, kerajaan dan semua pihak berkuasa berkaitan perlu menyediakan segala sumber yang diperlukan kepada polis bagi meneruskan dan memperhebat operasi untuk menghapuskan sindiket penipuan dalam talian sepenuhnya dari negeri ini.
“Orang ramai juga perlu sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.
Pada masa sama, Yong menggesa orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Katanya, perkara itu termasuk kehadiran secara tiba-tiba kumpulan besar warga asing, pergerakan luar biasa pada waktu ganjil atau sebarang tingkah laku mencurigakan melibatkan penyewa di kawasan perumahan.
“Penguatkuasaan tidak boleh berjaya secara bersendirian kerana sindiket ini bergantung kepada kerahsiaan dan sikap berdiam diri orang sekeliling. Setiap rakyat Sabah perlu sentiasa berwaspada, khususnya pemilik hartanah dan tuan rumah.
“Kerjasama orang ramai amat penting bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti dan mencegah operasi haram sebelum ia bertapak dalam komuniti kita,” katanya.
Selain pemantauan fizikal, Yong turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran awam mengenai penipuan dalam talian kerana masyarakat yang mempunyai pengetahuan lebih sukar menjadi mangsa penipuan.
“Kesedaran awam merupakan barisan pertahanan pertama dalam mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.

