Lima tahun lalu Perancis mengumumkan perancangan membina kapal pengangkut pesawat baharu berkuasa dunia bagi menggantikan kapal Charles de Gaulle yang dilancarkan pada tahun 2001. Presiden Emmanuel Macron pada 21 Disember lalu mengumumkan pembinaan kapal program Porte Avion Nouvelle Generation (PANG) kini akan dimulakan tahun depan dengan ia menelan belanja €10.25 bilion (~RM 49.1 bilion).

Pembinaan akan dilakukan di dermaga Saint-Nazaire oleh Chantiers de l’Atlantique dan Naval Group. Apabila dijangka memulakan operasi pada tahun 2038, kapal sebesar 78,000 ton, sepanjang 310 meter dan 90 meter ini akan menjadi kapal terbesar pernah dihasilkan dalam sejarah Eropah.
Sebagai kapal pengangkut generasi baru, ia turut akan menggunakan sistem pelancar pesawat elektromagnet (EMALS) menjadikan Perancis menjadi negara ketiga menggunakan sistem ini selepas Amerika Syarikat dan China.

Ia akan mempunyai satu struktur utama di atas geladak, dilengkapi dua lif mengangkut pesawat, mempunyai dua hangar dan tiga sistem wayar untuk menangkap kapal terbang yang mendarat. Sebanyak 30 pesawat tempur Rafale M dan dron serta pesawat radar E-2D Hawkeye akan beroperasi di atas kapal ini kelak.
EMALS mempunyai kelebihan berbanding sistem pelancar stim sedia ada kerana memberikan lontaran lebih berkuasa dan pantas. Masa menanti untuk tekanan stim yang cukup tidak diperlukan. Tetapi sistem ini masih mempunyai beberapa masalah dengan ujian awal pada USS Gerald R Ford mengalami kegagalan sekitar 10% yang lebih tinggi berbanding pelancar stim.


