Perang Asia Barat: Pelancongan Sabah mula terjejas, tempahan dibatal

LocalTravel
28 Mar 2026 • 4:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jafry ditemui pemberita semasa hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.

KOTA KINABALU - Pengusaha pelancongan di Sabah mula merasai kesan susulan konflik di Asia Barat yang turut memberi impak kepada peningkatan harga minyak di peringkat global.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kenaikan harga minyak memberi kesan langsung kepada kos operasi terutama melibatkan sektor pengangkutan dalam industri pelancongan.

"Memang terkesan akibat peperangan di Asia Barat yang mana masalah utama ialah minyak dan minyak ini melibatkan soal pengangkutan dan Sabah ini sangat penting dari segi ketersambungan.

"Jadi pengusaha kita memang terkesan, cuma kita masih menunggu arahan ataupun tindakan kerajaan Persekutuan.

"Saya difahamkan oleh Perdana Menteri akan memanggil Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk membincangkan langkah seterusnya.

"Kita memang jangkakan kesan yang ketara apabila harga minyak naik kerana ia melibatkan pengangkutan, bot dan sektor pelancongan. Jadi itulah yang kita hadapi sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Ketika ditanya sama ada kesan itu sudah mula dirasai dalam sektor pelancongan, beliau berkata keadaan tersebut sudah mula memberi impak kepada pengusaha.

"Ya, memang sudah mula terkesan. Sekarang ini pengusaha bot, transport, bas persiaran dan sebagainya terpaksa menaikkan harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Mengulas dakwaan kemungkinan situasi itu boleh menjadi gelombang kedua selepas pandemik Covid-19, beliau berharap perkara tersebut tidak berlaku, namun mengakui wujud kesan terhadap tempahan pelancongan.

"Kita doakan supaya tidak sampai ke tahap seperti itu. Namun saya menasihatkan pengusaha untuk bertenang dan mengamalkan jimat cermat.

"Sektor pelancongan mungkin terjejas dari segi tempahan dan ada pembatalan, tetapi ini realiti yang bukan hanya kita hadapi, malah seluruh dunia turut terkesan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan mesyuarat bersama kerajaan negeri berhubung intervensi isu berkenaan termasuk pelancongan, beliau berkata perkara tersebut akan turut melibatkan libat urus bersama pihak berkaitan.

"Sektor pelancongan memang terkesan dan kerajaan amat prihatin kerana ia merupakan antara penyumbang ekonomi besar di Sabah. Kementerian pelancongan akan terlibat dalam libat urus ini," jelasnya.

Beliau menambah, kementerian juga telah bersedia dengan data serta kajian untuk dikemukakan bagi tujuan perbincangan lanjut.