KOTA KINABALU – Isu tuntutan Filipina terhadap Sabah dilihat sering berulang, terutama ketika musim pemilihan di negara itu, namun kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia adalah jelas dan tidak boleh dipertikaikan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu bukan sesuatu yang baharu, malah sering dibangkitkan oleh pihak tertentu di Filipina setiap kali menjelang pilihan raya.
“Selalunya di sana, apabila hampir pilihan raya senat mereka, timbul isu seumpama ini. Namun jelas sejak awal, rakyat Sabah sudah membuat keputusan untuk bersama Malaysia. Perkara ini tidak boleh dipersoalkan lagi.
“Kita adalah negeri yang berdaulat dalam Malaysia, diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Apa lagi yang mahu dipersoalkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian kerajaan Sabah berhubung gesaan Senator Filipina, Robin Padilla, untuk menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah yang turut dikaitkan dengan kekayaan sumber minyak di negeri ini.
Beliau menegaskan bahawa keputusan rakyat Sabah untuk bersama Malaysia telah dimuktamadkan sejak pembentukan negara ini dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Ini sesuatu yang perlu diperbetulkan. Tidak boleh diuar-uarkan atau dijadikan isu, terutama oleh pihak di sana,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata, sebarang cubaan untuk menghidupkan kembali tuntutan berkenaan hanya akan menimbulkan kekeliruan dan tidak memberi manfaat kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Katanya, semua pihak seharusnya menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia serta tidak menjadikan isu berkenaan sebagai bahan politik.


