‘Perginya anak soleh di bulan Ramadan’ – Suami Amyza Aznan

LocalFamily & Parenting
24 Feb 2026 • 10:09 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Suami kepada pelakon Amyza Aznan, Khairil Idzhar Md Nazir reda dengan pemergian anak sulung mereka, Andre Mikhael, yang menghembuskan nafas terakhir selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.

Menurut Khairil, keadaan Andre dilaporkan semakin kritikal sejak Ahad dan pihak keluarga telah dimaklumkan lebih awal supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Semalam lagi kami dah diberitahu keadaan anak agak kritikal. Kami memang sentiasa tunggu saja sehingga habis,” katanya.

Memetik laporan Media Hiburan, Khairil turut mendedahkan keadaan Allahyarham pada saat-saat akhir yang tidak lagi mampu bercakap walaupun berada dalam keadaan sedar.

“Dia seorang anak yang sangat baik. Walaupun dia sakit, dia tak menyusahkan.

“Kami tak dapat bercakap banyak dengan dia. Dia seperti ditidurkan walaupun sedar dan tak dapat bercakap sehinggalah nafas terakhir dia,” dedahnya.

Baca juga:

Tambahnya, dia bersyukur segala urusan dipermudahkan dan berasa tenang kerana dapat berada di sisi anaknya ketika menghembuskan nafas terakhir.

“Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Perginya anak yang soleh ini terlalu mudah bagi saya kerana dia pergi, saya ada di sebelah.

“Setahun dia melawan sakit kanser dan saya bersama menemani dia walaupun keadaan saya pun tidak berapa sihat. Alhamdulillah, saya berpuas hati dapat membantu dia menangani sakitnya,” katanya.

Menurutnya lagi, pemergian Andre pada bulan Ramadan menjadi antara kekuatan buat dirinya untuk terus reda menerima ketentuan Ilahi.

“Itu yang menguatkan saya, perginya anak saya di bulan Ramadan. Alhamdulillah,” ujarnya.

Kata Khairil, anaknya sempat meluahkan persoalan mengapa dirinya semakin tidak kuat dan tidak sihat.

“Saya cakap itulah prosesnya dan dia faham,” kongsinya.

Terdahulu,pemergian Andre dimaklumkan oleh Amyza Aznan di Instagram Stories semalam.

Sebelum ini, pelakon itu turut memohon doa orang ramai serta mendapatkan bantuan individu yang mahir dalam perubatan alternatif bagi membantu merawat anak sulungnya itu.