Perang Dagangan: China Serang Balas AS Dengan Tarif 84%

WorldBusiness & Finance
10 Apr 2025 • 10:28 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Dunia ketika ini sedang menyaksikan perang perdagangan yang tercetus di antara Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara-negara lain.

Hal ini berlaku selepas Presiden AS, Donald Trump mengenakan kenaikan tarif di 168 negara termasuklah Malaysia yang diumumkannya pada 2 April lalu.

Pentadbiran Trump terus melakukan kejutan apabila menaikan lagi tarif ke atas China menjadi 104% yang berkuat kuasa semalam (9 April).

China umum tarif balasan besar-besaran ke atas barang import AS

Terbaharu, giliran China pula mengumumkan tarif ‘timbal balik’ besar-besaran ke atas barangan AS.

Difahamkan, Beijing pada asalnya merancang untuk bertindak balas dengan tarif 34% ke atas produk import AS mulai 4.01 petang Rabu.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan China berkata, ia kini dinaikkan kepada 84% selepas Trump secara mendadak menaikkan dutinya sendiri ke atas import dari negara Tembok Besar itu.

“Peningkatan tarif terhadap China oleh AS hanya menambahkan lagi kesilapan atas kesilapan, (dan) sangat melanggar hak dan kepentingan China yang sah,” kata kementerian itu dipetik Harian Metro.

Tindakan Washington beri kerosakan teruk sistem perdagangan

Menurutnya, tindakan Washington itu telah memberi kerosakan teruk terhadap sistem perdagangan berasaskan peraturan pelbagai hala.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Perdagangan Beijing berkata, akan menyenaraihitam enam firma kecerdasan buatan (AI) AS termasuk Shield AI dan Sierra Nevada Corp.

Trump tidak mengeluarkan reaksi segera berhubung serangan balas China, sebaliknya menyeru syarikat untuk mula berpindah ke AS bagi mengelak tarif.

Terdahulu, China dikenakan tarif sebanyak 54%, dan Trump menambah lagi 50% selepas Beijing tidak menarik balik janjinya untuk mengenakan tarif balas sebanyak 34% ke atas barangan AS.

Malaysia dikenakan tarif 24% oleh AS

Sebagai info, Malaysia turut terkesan selepas dikenakan tarif sebanyak 24% ke atas barangan import negara ini di AS.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tenku Abdul Aziz menyatakan bahawa kerajaan dari dahulu lagi sudah sedar mengenai potensi kenaikan tarif ini, susulan itu mereka cuba pelbagaikan pasaran eksport ke negara-negara lain.

“Kita (Malaysia) juga giat mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan pelbagai negara. Awal tahun ini kita sudah tandatangan CEPA (Comprehensive Economic Partnership Agreement) dengan UAE dan kita juga sudah mulakan semula rundingan FTA dengan EU dan dan Korea Selatan pada tahun lepas.

“Satu lagi pasaran eksport dengan potensi besar ialah Asean. Perdagangan antara negara Asean masih rendah iaitu di bawah 25%. Sebagai Pengerusi Asean 2025, antara fokus Malaysia ialah meningkatkan perdagangan antara negara Asean,” katanya.

Pada masa yang sama, Tengku Zafrul juga menyatakan bahawa Malaysia akan terus berunding dengan AS untuk mencari penyelesaian ‘win-win situation’ bagi kedua-dua pihak.

Source: