Perang Tarif Trump jejaskan sektor pelabuhan, logistik Malaysia - Maybank IB

23/04/2025 - 12:36
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 23 April - Sektor pelabuhan dan logistik Malaysia dijangka terkesan akibat penyusutan jumlah dagangan global yang berpunca daripada perang Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS), menurut laporan Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Jelasnya, walaupun sektor itu mungkin naik seketika kerana penghantaran awal semasa penangguhan tarif 90 hari oleh AS, ia dijangka tidak cukup untuk menampung kejatuhan besar dalam eksport kontena dari China.
China kini menjadi sasaran utama AS yang berusaha mengurangkan eksport dari negara itu.
"Walaupun dalam tempoh terdekat mungkin ada sedikit peningkatan, ketidaktentuan yang berterusan serta kos yang semakin tinggi menjadikan prospek sektor ini lebih mencabar," menurut Maybank IB dalam satu nota kajian yang turut menyemak semula unjuran sektor daripada 'positif' kepada 'neutral'.
Dua syarikat yang diberi penarafan 'pegang' oleh firma penyelidikan itu ialah Westports Holdings Bhd dan Swift Haulage Bhd, disokong oleh permintaan domestik yang masih stabil.
Ketika ini, AS menggantung sementara pelaksanaan tarif balas selama 90 hari dan mengenakan tarif sementara sebanyak 10% kepada semua rakan dagang.
Namun, perubahan dasar yang kerap oleh AS menyebabkan pengeksport dan pengimport keliru, kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan dasar yang sering berubah.
Indeks Kontena Dunia juga mencatat penurunan 3% minggu lalu.
Maybank IB berkata, penyedia logistik kini berdepan aliran tempahan yang tidak menentu dan kesukaran menjangka jadual penghantaran, yang menyukarkan perancangan rantaian bekalan.
Firma penyelidikan tersebut menjangka, aktiviti penghantaran awal akan terus berlaku selepas dipercepat daripada musim puncak yang biasanya bermula pada Mei dan boleh membantu mengekalkan kadar tambang kontena yang tinggi dalam suku kedua tahun ini.
Tambahnya, risiko penurunan kekal untuk separuh kedua tahun ini, termasuk dari permintaan yang semakin perlahan selepas aktiviti penghantaran awal reda serta kemungkinan kelembapan dagangan antara AS dan China yang kedua-duanya boleh menekan kadar tambang kontena.
Bagi pelabur yang masih berminat dalam sektor berkenaan, Maybank IB mencadangkan Westports sebagai pilihan utama kerana peranannya yang strategik sebagai pintu masuk utama import-eksport negara dan hab pemindahan kontena serantau. - DagangNews.com
standard

