MCE raih kontrak bernilai RM120.67 juta, kukuh kedudukan di pasaran tempatan dan global

23/04/2025 - 14:49
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 23 April - MCE Holdings Berhad (MCE) memperoleh beberapa kontrak baharu dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM120.67 juta, mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai pembekal dipercayai bagi komponen elektronik dan mekatronik automotif dalam negara serta di peringkat antarabangsa.
Kontrak-kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat MCE, Multi-Code Electronics Industries (M) Berhad yang menerima projek daripada JVIS USA LLC (JVIS) dan Perodua, manakala MCE Hengtuo Sdn Bhd berjaya memperoleh kontrak daripada Proton.
MCE terus menunjukkan prestasi positif dalam usaha mengembangkan pasaran eksportnya apabila berjaya mendapatkan kontrak bernilai RM69.59 juta daripada JVIS, sebuah syarikat pembekal komponen automotif berpusat di Michigan, Amerika Syarikat (AS).
Kontrak selama 60 bulan itu merupakan lanjutan kerjasama dan membuktikan keyakinan berterusan JVIS terhadap MCE sebagai pembekal jangka panjang.
MCE akan membekalkan komponen mekatronik bagi satu model kenderaan untuk pasaran AS, dengan pengeluaran dijangka bermula pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027.
Di dalam negara, MCE juga berjaya memperoleh beberapa kontrak daripada Perodua bernilai kira-kira RM41.33 juta, bagi dua model baharu iaitu sebuah kenderaan elektrik (EV) dan sebuah model enjin pembakaran dalaman (ICE).
Untuk model EV, pembekalan akan berlangsung selama 36 bulan bermula suku kedua tahun kewangan 2026, manakala untuk model ICE, kontrak berjalan selama 72 bulan bermula suku pertama tahun kewangan 2027.
Selain itu, MCE turut menerima kontrak selama 60 bulan daripada Proton bagi membekalkan komponen mekanikal dan mekatronik untuk model kenderaan baharu, bernilai sekitar RM9.75 juta.
Projek berkenaan dijadual bermula pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026.
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr. Goh Kar Chun berkata, pencapaian tersebut membuktikan kepercayaan pengeluar kenderaan utama terhadap keupayaan MCE dalam menyediakan komponen automotif yang canggih dan berdaya saing, walaupun dalam suasana ekonomi global yang mencabar.
"Keupayaan kami untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan dari kenderaan ICE konvensional ke EV generasi baharu, serta pasaran tempatan dan antarabangsa, mencerminkan kekuatan kepakaran dalaman dan kebolehan kami menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang kompleks," katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Goh menambah, MCE komited untuk terus naik ke rantaian nilai dengan memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), bagi menghasilkan komponen automotif yang lebih canggih.
Katanya, fokus itu selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi kenderaan generasi baharu, seperti yang digariskan dalam Dasar Automotif Nasional.
MCE merupakan pengeluar peralatan asal (OEM) terkemuka yang terlibat dalam kejuruteraan, reka bentuk dan pembuatan komponen elektronik serta mekatronik automotif untuk pasaran Malaysia dan rantau ini. - DagangNews.com
standard

