
SANDAKAN: Sandakan melakar sejarah tersendiri menerusi Perarakan Singa, Naga dan Unicorn di atas lori yang mengelilingi pusat bandar, Bandar Kim Fung dan Bandar Indah sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Julung kali diadakan di Sandakan dan Sabah, program itu menyaksikan 15 lori membawa pasukan tarian singa, naga dan unicorn. Perarakan bermula di Padang Bandaran.
Sepanjang perjalanan, paluan gong dan gendang bergema manakala kepala singa dimainkan dan digerakkan di atas lori sebagai simbol kemeriahan dan keberkatan.
Di Bandar Indah, kesemua singa, naga dan unicorn diturunkan bagi mengadakan persembahan khas di hadapan lampu isyarat persimpangan masuk ke kawasan berkenaan.
Jalan utama dua lorong di situ ditutup selama dua jam bagi memastikan kelancaran serta keselamatan orang ramai - satu langkah yang mencipta sejarah tersendiri apabila pertama kali jalan utama ditutup khusus untuk persembahan kebudayaan tradisional.
Ia dianjurkan oleh Persatuan Masyarakat Tionghua Bersekutu Sandakan yang dipimpin Presidennya Datuk Edward Khoo, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Dewan Perniagaan Tionghua Sandakan serta Pejabat Parlimen Sandakan.
Kerjasama erat antara badan bukan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat itu mencerminkan semangat perpaduan serta komitmen bersama dalam memajukan bandar Sandakan.
Penganjur berharap perarakan terbabit dapat menarik feng shui lebih positif sekali gus membantu merancakkan kembali perniagaan tempatan dan ekonomi bandar ini.
Ia juga bertujuan mempamerkan keunikan kebudayaan tradisional masyarakat Cina kepada seluruh lapisan masyarakat.



