
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bersempena ulang tahun ke-30 penubuhannya, SME Corp. Malaysia kini memulakan lembaran baharu dengan pembukaan ibu pejabatnya di Menara AIA Cap Square yang dirasmikan hari ini oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Pembukaan ibu pejabat baharu itu menandakan satu lagi perkembangan penting dalam perjalanan agensi berkenaan yang telah memainkan peranan dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia sejak 1996.
Untuk rekod, SME Corp. Malaysia mula ditubuhkan pada 2 Mei 1996 dengan nama Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), yang kini dikenali sebagai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Agensi itu kemudiannya dijenamakan semula sebagai SME Corp. Malaysia pada 2 Oktober 2009 sebelum diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) pada November 2018, yang kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Penjimatan RM17 Juta Setahun, Lebih Banyak Ruang Untuk Pembangunan PKS
Menariknya, pembukaan ibu pejabat baharu ini bukan sekadar melibatkan perubahan lokasi, malah turut membawa manfaat dari sudut pengurusan kewangan.
Menurut Steven Sim, langkah tersebut membolehkan SME Corp. Malaysia mengurangkan kos sewaan dengan penjimatan dianggarkan sebanyak RM17 juta setahun.
Malah, jumlah penjimatan itu dijangka mencecah setengah bilion ringgit dalam tempoh 30 tahun akan datang.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha mengamalkan perbelanjaan berhemah dan memperkukuh tatakelola yang baik di bawah Kerajaan MADANI.
Program Pelaburan PKS Sasar Dana RM90 Juta
Dalam majlis sama, Steven Sim turut melancarkan Program Pelaburan PKS yang menyasarkan sekurang-kurangnya RM90 juta bagi pelaburan dalam kalangan PKS tempatan yang mempunyai potensi tinggi.
Menerusi program itu, SME Corp. Malaysia bekerjasama dengan beberapa rakan pelaburan termasuk Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), OSK Ventures International Berhad dan Hartamodal Sdn. Bhd.
Kerjasama tersebut bertujuan memperluas pilihan pembiayaan kepada PKS berpotensi tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka terhadap pinjaman bank sebagai sumber modal perniagaan.
Selain itu, KUSKOP turut merancang pelaksanaan Pelan Tindakan SCALE 2027 yang memberi tumpuan kepada lima bidang strategik bagi memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Lima fokus tersebut merangkumi penakrifan semula PKS (SME Redefinition), perlindungan aliran tunai (Cash Flow Protection), penggunaan kecerdasan buatan (AI for MSMEs), keperluan kandungan tempatan (Local Content Requirement) serta mempermudah pembiayaan PMKS (Easing MSME Financing).
Hab PMKS Jadi Pusat Rujukan Usahawan
Bagi memudahkan urusan usahawan, ibu pejabat baharu itu turut menyediakan Hab PMKS sebagai pusat fizikal yang menawarkan khidmat nasihat perniagaan dan rujukan setempat.
Selain itu, Laman PMKS (SPARQ) turut disediakan sebagai hab pembangunan perniagaan bersepadu yang menghubungkan usahawan dengan pelbagai bentuk sokongan dan peluang pertumbuhan.
Antaranya termasuk khidmat nasihat, latihan, jaringan strategik, akses pasaran serta peluang mengembangkan perniagaan menerusi pendekatan fizikal dan digital.
Menurut Pengerusi SME Corp. Malaysia, Teng Chang Khim, pembukaan ibu pejabat baharu itu melambangkan permulaan fasa baharu yang selari dengan tawaran nilai agensi berkenaan, iaitu memperkasa PKS untuk terus berkembang dan bersaing melalui hubungan antara inisiatif, pengetahuan dan peluang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, bangunan baharu tersebut menempatkan kira-kira 260 kakitangan dengan keseluruhan fungsi agensi dihimpunkan di bawah satu bumbung.
Ia merangkumi 12 bahagian dan tiga unit yang akan memperkukuh peranan SME Corp. Malaysia sebagai Agensi Penyelaras Pusat (CCA).
Menerusi peranan itu, SME Corp. Malaysia bertanggungjawab memastikan dasar berkaitan PMKS diterjemahkan kepada tindakan, program kerajaan saling melengkapi tanpa pertindihan serta sumber yang disediakan dapat dimanfaatkan secara optimum.



