Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran perlu distruktur jadi geran bersyarat

LocalBusiness & Finance
25 Aug 2026 • 4:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran perlu distruktur jadi geran bersyarat

PETALING JAYA: Yayasan Mahir Malaysia menyokong cadangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) supaya pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) distruktur semula sebagai geran bersyarat.

Presiden Yayasan Mahir Malaysia (YMM), Datuk P. Sri Ganes berkata, menerusi pendekatan itu, pembiayaan boleh dihapus kira sepenuhnya selepas pelatih memperoleh pensijilan dan merekodkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 12 bulan secara konsisten.

Katanya, penstrukturan itu juga dilihat mampu memastikan bantuan yang disalurkan memberi pulangan kepada pelatih dan negara.

“Pembiayaan hanya boleh dituntut semula sekiranya pelatih gagal menamatkan latihan, sekali gus memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar komited untuk memperoleh kemahiran.

“Selain itu, pelaksanaan secara berperingkat mengikut sektor kritikal seperti teknologi hijau, kenderaan elektrik (EV), mekatronik, keselamatan siber dan ekonomi penjagaan perlu dilaksanakan bagi mengehadkan pendedahan fiskal pada peringkat awal,” katanya dalam kenyataan.

Sri Ganes berkata, cadangan itu tidak memerlukan peruntukan tambahan kerana jumlah RM100 juta yang sama akan disalurkan sama ada dalam bentuk pinjaman atau geran, dengan perbezaannya hanya terletak pada syarat yang dikenakan terhadap pelatih.

Beliau berkata, syarat kelayakan pembiayaan PTPK yang menyasarkan isi rumah berpendapatan tidak melebihi RM5,000 sebulan dilihat tidak selari dengan instrumen pinjaman yang digunakan.

“Kita memilih golongan daripada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai kemampuan terhad untuk membayar balik, namun pada masa sama mereka diberikan pembiayaan dalam bentuk hutang.

“Persoalannya bukan pada peminjam, sebaliknya instrumen pembiayaan yang digunakan,” katanya.

Menurutnya, sejak ditubuhkan, PTPK menyalurkan kira-kira RM2.2 bilion kepada lebih 400,000 pelatih, namun tunggakan berterusan menyebabkan kadar pemulihan pinjaman tidak mencapai sasaran.

Dalam pada itu, Sri Ganes berkata, YMM dan komuniti penyedia latihan kemahiran bersedia mengambil tanggungjawab terhadap mekanisme kawalan pelaksanaan, termasuk menetapkan siling yuran mengikut tahap NOSS, pengagihan dana berdasarkan kehadiran dan pentaksiran serta kelayakan yang berpandukan Penarafan Bintang Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, KESUMA sedang mendapatkan pandangan daripada kementerian berkaitan berhubung cadangan untuk menstruktur semula pembiayaan PTPK daripada pinjaman kepada geran, sebelum dibawa kepada Kabinet untuk pertimbangan.

Menurut Ramanan, inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan pelajar program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas tamat pengajian. – UTUSAN

The post Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran perlu distruktur jadi geran bersyarat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved