
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan menerusi kerjasama strategik melalui program Jelajah Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026.

Program AKAR 2026 yang dianjurkan oleh Yayasan KRU dengan kerjasama PTPTN, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Program tersebut dianjurkan selaras dengan aspirasi PTPTN untuk membudayakan amalan menabung melalui Simpan SSPN, di samping mencungkil bakat kreatif murid serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan pendidikan sejak usia muda.
Jelajah AKAR 2026 merupakan inisiatif berskala nasional yang diadakan bermula 13 Julai 2025 hingga 25 September 2026 melibatkan 40 buah sekolah di 14 buah negeri seluruh negara.
Terdahulu, siri jelajah tersebut telah diadakan di Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor, Pahang, Perlis dan Kedah.
Bagi negeri Pulau Pinang, program diteruskan melibatkan lima buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya, Sekolah Kebangsaan Tasek Gelugor, Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi dan Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program Jelajah AKAR 2026 merupakan inisiatif yang amat bertepatan dengan aspirasi negara dalam melahirkan generasi muda yang seimbang daripada aspek ilmu pengetahuan, kreativiti, sahsiah serta penghayatan nilai-nilai murni.

“Inisiatif seperti ini diyakini dapat membantu membentuk generasi yang bukan sahaja kreatif dan berdaya saing, malah bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.” ujarnya.
Kata beliau, melalui Jelajah AKAR 2026 di Pulau Pinang, PTPTN telah menyalurkan sumbangan akaun Simpan SSPN berjumlah RM48,200 kepada 482 orang murid daripada lima buah sekolah yang terlibat.

Setiap penerima menerima sebanyak RM100 sebagai galakan untuk memulakan amalan menabung dan membuat persediaan kewangan bagi pendidikan tinggi sejak usia muda.
Selain itu, PTPTN turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Mewarna sempena Bulan Kebangsaan yang akan dikreditkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi setiap pemenang,” ujar beliau.
Siri Jelajah AKAR 2026 di Pulau Pinang yang diadakan bermula 6 hingga 8 Ogos lalu 2026 dihadiri oleh Norliza; Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri, PTPTN Pulau Pinang Muhammad Muhsin Abdul Rahman,
PTPTN berharap pelaksanaan Jelajah AKAR 2026 akan terus menjadi platform strategik dalam mencungkil bakat dan kreativiti murid, memperkukuh literasi kewangan serta membudayakan amalan menabung sejak usia muda.
Inisiatif tersebut diharapkan dapat melahirkan generasi yang lebih bersedia daripada segi ilmu, kemahiran dan perancangan kewangan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, selaras dengan aspirasi negara untuk membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.-UTUSAN
The post PTPTN perkenal AKAR 2026 bangunkan bakat, literasi kewangan appeared first on Utusan Malaysia.



