Perbelanjaan lebih RM22 bilion infrastruktur air bakal cetus kitaran baharu pertumbuhan industri - Maybank IB

LocalBusiness & Finance
27 Jul 2026 • 2:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perbelanjaan lebih RM22 bilion infrastruktur air bakal cetus kitaran baharu pertumbuhan industri - Maybank IB Image from: Perbelanjaan lebih RM22 bilion infrastruktur air bakal cetus kitaran baharu pertumbuhan industri - Maybank IB hamden27/07/2026 - 14:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Julai - Malaysia dijangka membelanjakan lebih RM22 bilion bagi pembangunan infrastruktur air dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus mencetuskan kitaran pertumbuhan baharu sektor berkenaan selepas beberapa percubaan sebelum ini gagal direalisasikan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kali ini prospek perbelanjaan modal (capex) dilihat lebih kukuh berikutan pelaksanaan reformasi tarif air serta peningkatan permintaan terhadap bekalan air daripada pembangunan pusat data yang berkembang pesat di negara ini.

 

Menurut Maybank IB, satu petunjuk awal yang mengukuhkan prospek tersebut ialah peningkatan ketara nilai projek infrastruktur air yang kini berada pada peringkat reka bentuk.

 

"Nilai projek dalam fasa reka bentuk telah meningkat enam kali ganda pada 2025 berbanding 2021 dan kami melihat perkembangan ini sebagai petunjuk utama kepada peningkatan penganugerahan kontrak pada masa hadapan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Firma itu berkata, lonjakan pembangunan pusat data di Malaysia bagi memenuhi permintaan terhadap pengkomputeran berprestasi tinggi dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) turut menjadi pemangkin utama kepada peningkatan pelaburan dalam sektor air.

 

Pusat data memerlukan bekalan air yang besar bagi tujuan penyejukan peralatan, manakala infrastruktur air negara juga memerlukan pelaburan berterusan untuk menggantikan paip usang, mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) serta menaik taraf loji rawatan air.

 

Pembinaan Loji Air, Penggantian Paip Lama

Maybank IB berkata, sebahagian besar perbelanjaan yang dirancang akan tertumpu kepada pembinaan loji rawatan air baharu dan program penggantian paip.

 

Menurutnya, saluran projek tersebut dijangka mewujudkan peluang kontrak yang besar kepada kontraktor tersenarai dan pembekal infrastruktur air.

 

Dalam kalangan syarikat tersenarai, Gamuda Bhd dan Engtex Group Bhd dijangka menjadi penerima manfaat secara langsung daripada peningkatan pelaburan itu.

 

Sementara itu, SD Guthrie Bhd dan Ranhill Utilities Bhd pula dijangka menerima manfaat secara tidak langsung melalui pendedahan masing-masing kepada pembangunan sektor air.

 

Maybank IB turut menjelaskan prospek positif sektor itu disokong oleh pelaksanaan Pelan Transformasi Sektor Air 2040, yang membawa kepada penyelarasan tarif air di seluruh negara bagi mengurangkan jurang antara kadar tarif dan kos sebenar penyediaan perkhidmatan.

 

Langkah tersebut dijangka meningkatkan aliran tunai operator air, sekali gus membolehkan pembayaran pajakan kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dibuat dengan lebih lancar dan mengikut jadual.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kedudukan kewangan operator yang lebih kukuh akan meningkatkan keyakinan PAAB untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur air baharu di Semenanjung Malaysia.

 

Pada masa sama, pembaharuan sektor itu juga dijangka memberi ruang kepada operator air negeri untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur mereka sendiri dengan lebih aktif. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved