Perbelanjaan mengurus meningkat kepada RM363.1 bilion pada 2026

Business & Finance
9 Oct 2026 • 4:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perbelanjaan mengurus meningkat kepada RM363.1 bilion pada 2026

DARI segi perbelanjaan kerajaan, perbelanjaan mengurus (OE) diunjur meningkat 7.3 peratus kepada RM363.1 bilion pada 2026 berbanding anggaran belanjawan asal.

Sebaliknya, perbelanjaan pembangunan (DE) dijangka kekal pada RM81 bilion, dengan keutamaan diberikan kepada projek berpaksikan rakyat yang mempunyai kesan pengganda tinggi dan boleh dilaksanakan dalam tempoh lebih singkat.

Peningkatan perbelanjaan itu dijangka sebahagiannya diimbangi oleh prestasi hasil kerajaan yang lebih baik, disokong pembaharuan hasil yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut laporan itu, kesan penuh peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan e-Invois secara berperingkat dijangka meningkatkan kutipan hasil melalui peluasan asas cukai dan penambahbaikan tahap pematuhan.

Selain itu, anggaran dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dinaikkan daripada RM20 bilion kepada RM27 bilion, mengambil kira peningkatan purata harga minyak mentah dunia.

Hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat enam peratus kepada RM363.6 bilion pada 2026 berbanding anggaran asal, sekali gus menyediakan penampan fiskal bagi menampung sebahagian tekanan tambahan perbelanjaan.

Laporan itu menyatakan prestasi hasil yang lebih baik dan penyusunan semula keutamaan perbelanjaan membantu mengehadkan kesan kejutan luaran terhadap kedudukan fiskal negara.

“Pelarasan ini mencerminkan tindak balas kerajaan yang teratur dan bersasar dalam mendepani tekanan luaran, manakala prestasi hasil yang lebih baik serta penyusunan semula keutamaan perbelanjaan telah membantu mengehadkan kesan terhadap kedudukan fiskal keseluruhan,” menurut laporan itu.

Secara keseluruhan, semakan defisit fiskal kepada 3.6 peratus daripada KDNK mencerminkan pertambahan tekanan perbelanjaan yang perlu ditanggung kerajaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, meskipun kutipan hasil dijangka lebih tinggi daripada unjuran asal.

Pada masa sama, kerajaan terus berdepan keperluan mengimbangi perlindungan terhadap rakyat dan aktiviti ekonomi dengan usaha mengekalkan disiplin fiskal, menerusi subsidi bersasar, pembaharuan hasil dan pengoptimuman perbelanjaan awam. – UTUSAN

The post Perbelanjaan mengurus meningkat kepada RM363.1 bilion pada 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved