Perbelanjaan modal Petronas diunjur meningkat kepada purata RM22.6 bilion setahun antara 2023 hingga 2027 - RHB Investment
azan
08/06/2023 - 11:13
KUALA LUMPUR 8 Jun - RHB Investment menjangkakan peberlanjaan modal (capex) Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan meningkat dalam beberapa suku akan datang, terutamanya pada separuh kedua 2023.
Firma itu berkata, Petronas memberi panduan bahawa mereka akan membelanjakan RM113 bilion atau purata RM22.6 bilion setahun antara 2023 dan 2027, iaitu peningkatan 12% daripada RM101 bilion bagi tempoh lima tahun sebelumnya (iaitu RM20.2 bilion setahun).
"Ringkasnya, kami tidak terlalu teruja dengan jumlah itu kerana panduan perbelanjaan domestik tahunan purata sebanyak RM22.6 bilion adalah 9% hingga 11% lebih rendah daripada yang dibelanjakan pada 2018-2019 (sebelum wabak), walaupun jumlahnya lebih tinggi daripada perbelanjaan tahunannya sebanyak RM15 bilion hingga RM18.6 bilion pada 2020-2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, perbelanjaan capex Petronas meningkat sebanyak 42% dari tahun ke tahun pada searuh pertama 2023 kepada RM10.5 bilion dengan segmen huluan merupakan penyumbang terbesar (41%), diikuti oleh gas (22%) dan Gentari (16%).
Katanya, perbelanjaan yang lebih tinggi sebahagian besarnya disebabkan oleh pemerolehan WIRSOL Energy, penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) di Australia.
"Keseluruhan capex yang dibelanjakan pada suku ini mewakili 17.5% daripada purata panduan capex tahunan sebanyak RM60 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Firma itu berkata, keuntungan teras selepas cukai syarikat minyak negara itu merosot sebanyak 2% dari tahun ke tahun kepada RM23.2 bilion dengan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih lemah walaupun hasil meningkat sebanyak 16%, diterajui oleh jumlah jualan lebih tinggi dan dolar Amerika Syarikat (AS$) yang lebih kukuh.
"Petronas membayar dividen RM4 bilion pada suku pertama tahun ini dan jumlah setahun penuh telah diluluskan pada RM35 bilion, lebih rendah daripada panduan yang disemak sebelumnya sebanyak RM40 bilion pada Mac.
"Kami masih berpendapat bahawa Petronas mampu membayar dividen sehingga RM40 bilion tahun ini, tanpa menjejaskan kunci kira-kiranya. Kedudukan tunai bersihnya masih mengukuh kepada RM114 bilion," katanya.
Firma itu berkata, kapasiti RE Petronas dalam operasi dan pembangunan meningkat sebanyak 0.2GW kepada 1.8GW dan berada di landasan untuknya mencapai sasaran 3GW menjelang 2024.
Kumpulan itu menyasarkan sumbangan hasil sebanyak 30% daripada perniagaan bukan tradisional menjelang akhir dekad ini, sambil meneruskan pelaburan dalam portfolio terasnya kerana penggunaan hidrokarbon dijangka kekal relevan dalam jangka panjang.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas. - DagangNews.com

