RHB Investment kekal optimis terhadap Solarvest disokong pendapatan berulang daripada aset solar berskala besarnya
diyana
08/06/2023 - 11:59
KUALA LUMPUR 8 Jun - RHB Investment kekal optimis terhadap Solarvest Holdings Berhad memandangkan ia terus mengembangkan portfolio aset solar berskala besar empat (LSS4) yang memberikan pendapatan berulang.
Buku tender 2.5GW (gigawatt) mencerminkan permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga solar, di mana firma penyelidikan itu berkata ia seharusnya memberi manfaat kepada kumpulan dengan menyediakan peluang penambahan serta meningkatkan kehadiran serantaunya.
RHB Investment berkata projek LSS4 akan direalisasikan pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24), di mana pengurusan memberi panduan bahawa pendapatan FY24 akan ditambat oleh projek LSS4 bernilai RM344 juta, dengan kesemua lapan projek disasarkan siap menjelang Disember 2023.
“Untuk aset LSS4 kumpulan itu sendiri, dua projek akan beroperasi menjelang suku kedua berakhir 30 September 2023 (2QFY24) dan satu lagi menjelang 3QFY24. Setelah siap, projek akan menyumbang RM7 hingga 10 juta kepada keuntungan selepas cukai (PAT) setahun,” katanya dalam nota hari ini.
Kumpulan itu juga telah menerima perjanjian pembelian tenaga (PPA) korporat berkapasiti kira-kira 74.5MWp, yang akan memberikan pendapatan berulang.
Sementara itu, buku tender kumpulan yang berkapasiti 2.5GW itu merangkumi kontrak pemaju dan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
“Sejumlah 70.6% daripadanya adalah untuk projek domestik, manakala selebihnya melibatkan tender di negara serantau lain iaitu Taiwan (516MWp), Filipina (126MWp), Vietnam (55MWp), Singapura (15MWp), Indonesia (5.7MWp), dan Thailand (18MWp), di samping sedang mencari untuk menukar beberapa tender ke dalam buku pesanan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24),”
Bagi Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), firma itu berkata Solarvest telah membuat tender kuota 467MWp (megawatt-peak) bagi menggantikan tempahan solar berskala besar 4 (LSS4) yang akan habis tidak lama lagi dan menyediakan projek untuk FY25.
Menurut firma itu, pengurusan optimis dengan berita terbaharu Singapura menarik balik larangan eksport tenaga boleh diperbaharui (RE) memandangkan negara itu menawarkan pasaran dengan permintaan tinggi.
“Tarif elektrik isi rumah yang lebih tinggi di Singapura berpotensi meningkatan margin kasar serta memberi insentif kepada pemain RE untuk meneroka projek sistem penyimpanan tenaga bateri,” jelasnya.
Firma itu mengurangkan unjuran FY23 sebanyak 2% selepas menurunkan margin EPCC yang menutup peningkatan pendapatan sedikit daripada sumbangan LSS.
Oleh itu, RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) direndahkan kepada RM1.28 sesaham daripada RM1.36. -DagangNews.com

