Perbelanjaan modal TM kekal selaras dengan pelan strategik, beri ruang dividen lebih tinggi bermula FY26 - CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2025 • 10:09 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perbelanjaan modal TM kekal selaras dengan pelan strategik, beri ruang dividen lebih tinggi bermula FY26 - CIMB Securities

image is not available

29/09/2025 - 10:09

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - Perbelanjaan modal (capex) Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka kekal sejajar dengan pelan hala tuju strategiknya, sekali gus membuka potensi pembayaran dividen lebih tinggi bermula tahun kewangan 2026 (FY26).

Bagi FY25, capex TM diunjurkan sebanyak RM1.79 bilion, bersamaan 15% daripada hasil – konsisten dengan panduan syarikat, menurut CIMB Securities.

Pada FY26, capex dijangka meningkat kepada RM2.24 bilion (19% daripada hasil) untuk menyokong pelaksanaan rangkaian gentian (5G fibre backhaul) U Mobile.

Namun, CIMB Securities menekankan, perbelanjaan sebenar berkemungkinan lebih rendah sekiranya TM memanfaatkan rangkaian gentian sedia ada.

Menjelang FY2027, capex dijangka menyederhana kepada RM2.07 bilion (17% daripada hasil), apabila pelaburan gentian belakang 5G berkurangan selepas liputan rangkaian mencapai 90%.

CIMB Securities menegaskan, TM mencatatkan kemajuan ketara dalam peluasan gentian optik di bawah program Jendela, dengan jumlah premis diliputi meningkat daripada 4.96 juta pada 2020 kepada 9.0 juta menjelang 2024 – jauh mendahului sasaran Fasa 2.

Dengan majoriti isi rumah berjaya mendapatkan liputan, firma penyelidikan itu tidak menjangkakan peningkatan besar dalam bilangan premis gentian baharu, namun peluasan gentian “last-mile” dijangka berterusan untuk menyokong langganan jalur lebar baharu.

“Selain daripada perluasan gentian, kami juga melihat TM melabur dalam projek sistem kabel dasar laut yang sedang berjalan serta sistem baharu pada masa hadapan.

"Bagaimanapun, kami tidak menjangka pelaburan ini menyebabkan lonjakan mendadak dalam capex TM, kerana kebiasaannya ia dikongsi bersama ahli konsortium, dan pembinaannya lazimnya dilaksanakan secara berperingkat dalam beberapa tahun,” katanya.

Pada masa ini, TM sedang melabur dalam sistem kabel sepanjang 21,700 km Asia Tenggara–Asia Barat–Eropah Barat 6, yang dijangka siap untuk digunakan menjelang pertengahan 2026. Kabel itu dilaporkan menelan kos keseluruhan sebanyak AS$500 juta (RM2.1 bilion), yang dikongsi bersama 13 ahli konsortium.

“Purata kos bagi setiap ahli dianggarkan sekitar RM162 juta, walaupun capex sebenar bergantung kepada pegangan masing-masing dalam konsortium dan diagihkan dalam tempoh empat tahun,” katanya.

Dalam bidang pusat data, TM terus memperluaskan keupayaannya dengan fasa kedua Pusat Data Lembah Klang dan Iskandar Puteri yang dianggarkan menelan kos keseluruhan RM612 juta, dijangka siap pada suku keempat 2025 (4Q25).

Selain itu, TM turut membangunkan Pusat Data Nxera di Johor melalui usaha sama 51:49 dengan Singtel, dengan fasa pertama (64 MW) dijangka siap pada suku keempat 2026. Kontrak pembinaan telah dianugerahkan pada pertengahan Ogos 2025 dengan kos RM1.4 bilion.

CIMB Securities berkata komitmen ekuiti TM terhadap projek Nxera adalah terkawal, dengan purata sekitar RM118 juta setahun sepanjang lima tahun, manakala pembangunan penuh fasiliti tersebut dijangka berlangsung dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM7.60 sesaham potensi semakan semula kadar pembayaran dividen yang dilihat merupakan pemangkin utama kepada penilaian semula saham syarikat.- DagangNews.com

standard