Projek pusat data bakal jadi pemacu pendapatan jangka panjang EcoWorld, kata CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
26 Sep 2025 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek pusat data bakal jadi pemacu pendapatan jangka panjang EcoWorld, kata CIMB Securities

image is not available

26/09/2025 - 17:03

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Projek pusat data dipercayai menjadi pemacu kepada pendapatan berulang EcoWorld Development Group Berhad untuk jangka masa panjang, kata CIMB Securities.

Katanya, kumpulan itu sedang meneroka beberapa kaedah bagi membiayai fasiliti pusat data tersebut dan sedang berbincang secara aktif dengan pelbagai pihak yang berpotensi menjadi rakan pembangunan projek berkenaan.

Firma penyelidikan itu berkata, langkah itu membolehkan EcoWorld mengekalkan pegangan efektif sebanyak 80% dalam projek tersebut tanpa perlu menyatukan hutang ke dalam kunci kira-kira kumpulan.

“Sementara menunggu kejelasan lanjut, kami mengandaikan nisbah hutang 70:30 bagi fasiliti pusat data tersebut, yang dibiayai melalui gabungan RM800 juta sukuk kekal yang baru diterbitkan, hutang konvensional, serta dana dalaman untuk bahagian ekuiti, mengikut garis masa seimbang bagi sasaran siap pada suku ketiga tahun 2026.

“Secara lanjutan, kami menganggarkan fasiliti pusat data itu akan menyumbang kira-kira RM96 juta hingga RM107 juta aliran tunai setiap tahun untuk tempoh 20 tahun pertama, sekali gus menjadi penyokong kepada pembayaran dividen masa depan,” katanya dalam satu nota kajian.

CIMB Securities menjangkakan keuntungan bersih teras EcoWorld bagi tahun kewangan 2025 (FY25) pada RM411 juta, walaupun pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) dijangka sederhana susulan pencairan penuh waran (3.6 bilion saham).

Sementara itu, pulangan atas ekuiti (ROE) dan hasil dividen yang stabil disokong pengiktirafan jualan tanah sedia ada, sumbangan projek baharu (Eco Botanic 3, Eco Radiance, EBP VII) serta aliran tunai daripada pusat data (bermula FY28).

Secara keseluruhan, CIMB Securities memulakan semula liputan terhadap EcoWorld dengan penarafan “pegang" dan harga sasaran (TP) RM2.30 sesaham.

Dengan mengetepikan jualan tanah berskala besar, firma penyelidikan itu meramalkan keuntungan bersih teras syarikat menyederhana kepada RM269 juta pada FY26 daripada RM334 juta pada FY25, sebelum meningkat semula kepada RM310 juta pada FY27 berikutan bil pengiktirafan kemajuan lebih tinggi daripada tiga projek baharu (Eco Radiance, Eco Botanic 3 dan EBP VII).

“Secara ringkas, kami berpendapat projek baharu EcoWorld akan membantu mengekalkan pendapatan pada tahap yang kukuh,” katanya.- DagangNews.com

standard