Perbelanjaan pengguna Malaysia terus susut bagi Julai 2026 – DOSM

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perbelanjaan pengguna Malaysia terus susut bagi Julai 2026 – DOSM Image from: Perbelanjaan pengguna Malaysia terus susut bagi Julai 2026 – DOSM amree11/09/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept — Pertumbuhan perbelanjaan pengguna Malaysia susut pada Julai 2026, dengan aktiviti perdagangan borong dan runcit sebanyak 9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM170.5 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Kadar pertumbuhan itu disifatkan sebagai lebih rendah berbanding kira-kira 10.1% yang pernah dicatatkan pada Jun 2026, mencerminkan kadar pengembangan yang semakin sederhana dalam aktiviti perdagangan domestik.

 

Ujar agensi statistik awam berkenaan, secara bulan ke bulan (MoM), perdagangan pengedaran kembali berkembang 1.2% pada Julai selepas menguncup sebanyak 1.6% pada bulan sebelumnya.

 

"Prestasi perdagangan borong dan runcit terus disokong oleh aktiviti perdagangan borong, penggunaan isi rumah yang berdaya tahan, jualan automotif yang memberangsangkan serta aktiviti promosi," kata DOSM dalam kenyataan.

 

Perkembangan tersebut jelasnya, turut disokong permintaan terhadap perkhidmatan dan alat ganti kenderaan, selain perkembangan segmen peruncitan dalam talian.

 

Segmen peruncitan merekodkan jualan sebanyak RM71.3 bilion pada Julai, meningkat 6.4% YoY, dipacu oleh jualan di pasar raya besar, pasar mini dan kedai serbaneka.

 

pengguna_DagangNews2026

 

Tambah DOSM, pertumbuhan turut disumbangkan menerusi aktiviti jualan di kedai khusus, termasuk barangan farmaseutikal dan perubatan serta barang kemas.

 

"Sementara itu, sektor borong mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 11.7% YoY kepada RM78.4 bilion, susulan kenaikan harga petrol, diesel dan pelincir berikutan peningkatan harga minyak mentah global," katanya.

 

Bagaimanapun, agensi tersebut berkata, pertumbuhan sektor berkenaan dilihat masih berlaku walaupun peningkatan dari segi jumlah dagangan adalah lebih rendah.

 

Segmen automotif pula meningkat 7.9% YoY kepada RM10.7 bilion pada Julai, disokong peningkatan jualan kenderaan, alat ganti dan aksesori serta perkhidmatan penyelenggaraan.

 

Dari segi volum, pertumbuhan perdagangan borong dan runcit turut sederhana kepada 4.1% pada Julai berbanding 5.1% pada Jun, manakala indeks volum terlaras mengikut musim meningkat 1% MoM.

 

Pada masa sama, indeks jualan runcit melalui internet meningkat 7.4% YoY pada Julai, menunjukkan permintaan e-dagang kekal kukuh dan saluran digital terus memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti peruncitan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved