IHH Healthcare pertimbang tindakan undang-undang selanjutnya selepas tuntutan RM5.7 bilion ditolak Mahkamah Tokyo

Business & Finance
11 Sep 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IHH Healthcare pertimbang tindakan undang-undang selanjutnya selepas tuntutan RM5.7 bilion ditolak Mahkamah Tokyo Image from: IHH Healthcare pertimbang tindakan undang-undang selanjutnya selepas tuntutan RM5.7 bilion ditolak Mahkamah Tokyo amree11/09/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept – Northern TK Venture Pte Ltd (NTK), anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya IHH Healthcare Berhad, sedang menilai semua tindakan undang-undang selanjutnya selepas Mahkamah Daerah Tokyo menolak tuntutannya terhadap syarikat farmaseutikal Jepun, Daiichi Sankyo Company Ltd.

 

Kumpulan tersebut dalam kenyataan berkata, NTK tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah pada 10 September 2026 itu dan kekal yakin terhadap merit pendiriannya, selain meneliti penghakiman berkenaan bersama penasihat undang-undang.

 

Mahkamah turut memerintahkan NTK menanggung kos prosiding, namun syarikat itu berkata pihaknya kekal komited untuk mempertahankan hak dan kepentingannya melalui setiap saluran undang-undang yang sewajarnya.

 

Kes berkenaan berpunca daripada pengambilalihan Fortis Healthcare Ltd di India oleh IHH-NTK pada 2018, apabila NTK melanggan saham baharu Fortis bernilai 40 bilion rupee (kira-kira RM1.7 bilion)serta membuat tawaran terbuka mandatori kepada pemegang saham awam.

 

Menurut IHH, transaksi itu dilaksanakan menerusi proses yang telus, terbuka kepada umum dan dikawal selia sepenuhnya, selain memperoleh semua kelulusan korporat, pemegang saham serta kawal selia yang diperlukan, termasuk daripada Suruhanjaya Persaingan India (CCI) dan peraturan pengambilalihan.

 

IHH turut menegaskan tiada saham sekunder diperoleh daripada bekas promoter Fortis dan tiada bayaran dibuat kepada mereka, dengan pelaburan berkenaan dibuat ketika Fortis memerlukan suntikan modal serta hala tuju strategik baharu.

 

Bagaimanapun, proses tawaran terbuka untuk memperoleh pegangan tambahan dalam Fortis kemudiannya berdepan halangan susulan pertikaian Daiichi Sankyo dengan bekas pengasas syarikat hospital India itu. NTK mendakwa keadaan tersebut menyebabkan kerugian kepada pihaknya.

 

Artikel berkaitan: Mahkamah Tokyo tolak tuntutan unit IHH Healthcare terhadap Daiichi Sankyo

 

IHH Healthcare_DagangNews2026

 

NTK kemudian memfailkan tuntutan di Mahkamah Daerah Tokyo pada Oktober 2023, mendakwa Daiichi Sankyo menyebabkan kerugian dengan menghalangnya daripada meneruskan tawaran terbuka bagi memperoleh saham tambahan Fortis. Tuntutan pampasan itu kemudiannya mencecah sehingga 109.3 bilion rupee (RM5.7 bilion).

 

Pertikaian tersebut telah berlarutan beberapa tahun sebelum prosiding persediaan dan lisan di Mahkamah Daerah Tokyo selesai, dengan keputusan mahkamah ditetapkan pada 10 September 2026. 

 

IHH berkata pelaburannya di Fortis sejak itu membantu mentransformasikan kumpulan penjagaan kesihatan berkenaan menjadi antara penyedia perkhidmatan kesihatan utama di India, termasuk melalui pengukuhan standard klinikal, tadbir urus dan operasi.

 

Kumpulan itu menegaskan India kekal sebagai pasaran strategik utama dan pihaknya komited meningkatkan pelaburan di negara berkenaan, selain akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berkaitan kes tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved