KUALA TERENGGANU - Seramai 952 individu di Terengganu dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan kaedah pengiraan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), berbanding sifar rekod bagi kategori sama menerusi data Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, perbezaan ketara angka berkenaan berpunca daripada penggunaan kaedah penilaian yang berbeza antara kedua-dua agensi tersebut.
Menurutnya, MAIDAM menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan had kifayah yang lebih terperinci, manakala ICU pula berpandukan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan di peringkat Persekutuan.
"PGK di Terengganu menetapkan pendapatan sebanyak RM1,369 bagi kategori miskin tegar, manakala RM2,841 bagi kategori miskin dan penilaian ini dibuat berdasarkan pendapatan ahli keluarga.
"Bagaimanapun, MAIDAM mempunyai kaedah pengiraan tersendiri yang berbeza daripada ICU iaitu berdasarkan had kifayah," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sulaiman Sulong (Pas-Pengkalan Berangan) yang ingin mengetahui statistik terkini tahun 2026 bagi golongan miskin tegar dan miskin di Terengganu serta jumlah bantuan yang telah disalurkan sepanjang tahun ini.
Mengulas lanjut, Maliaman berkata, bagi kategori miskin pula, data ICU merekodkan seramai 21,800 individu berbanding 28,168 individu berdasarkan pengiraan MAIDAM.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak RM321.4 juta bantuan telah dibelanjakan dan disalurkan kepada golongan sasar menerusi tiga agensi pemberi bantuan utama di negeri ini.
"ICU merekodkan seramai 10,061 penerima manfaat di Terengganu berdasarkan data eKasih dengan jumlah bantuan sebanyak RM52.7 juta.
"MAIDAM pula merekodkan seramai 70,460 penerima dengan jumlah peruntukan RM130 juta, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai seramai 41,474 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM138.6 juta," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Sulaiman mengenai kriteria penilaian yang digunakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan MAIDAM dalam menentukan status kemiskinan, Maliaman menjelaskan bahawa sistem ICU ditentukan sepenuhnya melalui nilai PGK yang ditetapkan.
"Di Terengganu, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM1,369 dikategorikan sebagai miskin tegar, manakala kategori miskin melibatkan pendapatan antara RM1,370 hingga RM2,841.
"Penilaian ini dibuat berdasarkan PGK semata-mata dan bukannya mengambil kira harta yang dimiliki atau jumlah perbelanjaan sesebuah keluarga," ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan itu berbeza dengan MAIDAM yang menilai pelbagai faktor termasuk jumlah tanggungan, bilangan anak, anak yang masih bersekolah, pendapatan isteri dan anak-anak serta perbelanjaan isi rumah.
"Oleh sebab itu, had kifayah MAIDAM tidak mempunyai nilai yang tetap dan boleh berubah dari semasa ke semasa termasuk dari tahun ke tahun berdasarkan keadaan semasa serta perbelanjaan sesebuah isi rumah," jelasnya.


