Perbezaan pandangan bukan alasan derhaka, hina institusi Diraja – MB Johor

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 12:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perbezaan pandangan bukan alasan derhaka, hina institusi Diraja – MB Johor

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan perbezaan pandangan oleh mana-mana pihak termasuk pemimpin politik bukan alasan untuk derhaka atau menghina institusi Diraja.

Beliau berkata, institusi Diraja tidak seharusnya dijadikan bahan politik untuk meraih keuntungan khususnya dalam kalangan penyokong masing-masing.

“Taat setia kepada institusi Diraja bukan sekadar adat dan tradisi, tetapi asas kestabilan, keharmonian dan kelangsungan pemerintahan negeri serta negara. Ingatlah, institusi DiRaja tidak boleh dipolitikkan.

“Setiap keputusan dibuat menurut lunas Perlembagaan mestilah dihormati. Perbezaan pandangan bukan alasan untuk derhaka atau menghina institusi Diraja,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap turut berkata, kerajaan negeri akan terus mempertahankan kedaulatan institusi Diraja, menghormati Perlembagaan dan menentang apa sahaja bentuk penderhakaan.

“Pemimpin boleh berubah, kerajaan boleh bertukar, tetapi kesetiaan kepada Raja dan negara mesti kita pertahankan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan Persekutuan menyegerakan pelaksanaan 179 projek yang telah diluluskan antara 2021 hingga 2026 namun sehingga kini masih belum memasuki peringkat pelaksanaannya.

“Ini termasuk projek jalan raya, sekolah baharu, sekolah daif, klinik kesihatan, balai bomba, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kuarters penjawat awam dan bekalan utiliti.

“Ini turut melibatkan projek Transit Aliran Autonomi Bertingkat (E-ART) yang telah dua kali diumumkan dalam Belanjawan Persekutuan, serta projek Hospital Sultanah Aminah 2 dan Hospital Pasir Gudang,” katanya. – UTUSAN

The post Perbezaan pandangan bukan alasan derhaka, hina institusi Diraja – MB Johor appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved