
KUALA LUMPUR - Tiada pengecualian akan diberikan kepada mana-mana pihak yang berdepan siasatan berhubung isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), walaupun mereka mempunyai hubungan dengan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap laporan polis perlu diberi perhatian dan disiasat sewajarnya tanpa mengambil kira latar belakang politik individu yang dinamakan.
Beliau menegaskan, prinsip itu terpakai kepada semua pihak, sama ada dalam kalangan penyokong kerajaan, pemimpin pembangkang mahupun individu lain.
Memberikan contoh, Perdana Menteri menyentuh beberapa kes termasuk kenyataan seorang Ahli Parlimen di Terengganu, kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua serta puisi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang didakwa menyentuh institusi diraja.
Mengulas kes membabitkan Ahli Parlimen di Terengganu itu, beliau berkata permohonan maaf yang telah dibuat tidak bermakna siasatan perlu dihentikan secara automatik.
“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan dibuat Ahli Parlimen berkenaan. Walaupun beliau sudah memohon maaf, biarlah pihak polis menentukan perkara selanjutnya, termasuk meneliti kenyataan yang dibuat selepas permohonan maaf itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa sama, Anwar menolak dakwaan bahawa tindakan undang-undang dikenakan secara tidak seimbang, khususnya apabila melibatkan individu daripada kem pembangkang.
Katanya, beliau telah meneliti beberapa kes yang membabitkan pemimpin pembangkang dan tidak semua siasatan berakhir dengan pendakwaan.
Justeru, beliau berpandangan dakwaan wujudnya penguatkuasaan dua darjat tidak berasas kerana proses siasatan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab pihak berkuasa, bukannya hukuman terhadap individu terbabit.
Perdana Menteri memberi ingatan, seseorang individu tidak boleh dianggap kebal daripada siasatan hanya kerana kedudukan atau pengaruh yang dimilikinya.
“Apabila laporan polis dibuat, pihak polis perlu menjalankan siasatan. Tiada sesiapa yang terlalu istimewa sehingga tidak boleh disiasat. Setiap individu tertakluk kepada undang-undang dan boleh dipanggil untuk memberikan keterangan sekiranya terdapat laporan polis,” katanya.
Menyentuh Akta Hasutan 1948, Anwar mengakui beliau sendiri mempunyai pandangan berbeza terhadap akta berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih belum mempunyai pilihan perundangan lain yang diyakini mampu menangani ketegangan serta pertikaian berkaitan hubungan antara kaum.
Beliau menjelaskan, kewujudan akta itu berkait dengan pendekatan kepimpinan negara terdahulu, khususnya ketika pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, bersama timbalannya ketika itu, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang meletakkan keharmonian kaum sebagai keutamaan.
“Memang terdapat banyak pandangan mengenai kelemahan Akta 15, termasuk daripada saya sendiri. Namun, setakat ini kita masih belum mempunyai mekanisme alternatif untuk menangani dan meredakan ketegangan antara kaum,” katanya.
Menurut Anwar, penguatkuasaan undang-undang berkaitan 3R perlu dilihat dalam konteks menjaga kestabilan negara, memelihara kedudukan institusi Raja Berperlembagaan serta memastikan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama terus terpelihara.
Katanya, perkara itu turut menjadi antara kebimbangan yang sering dibangkitkan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat mereka.
Bagi memastikan isu berkenaan terus dipantau, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memainkan peranan dalam pemantauan serta penguatkuasaan, dengan beberapa badan penasihat termasuk Majlis Penasihat Perpaduan Negara turut dirujuk.
Pada masa sama, Anwar berkata pihak yang merasakan sesuatu tindakan penguatkuasaan mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa atau dipengaruhi kepentingan politik boleh mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Namun, beliau mengingatkan bahawa perkara berkaitan 3R tidak boleh diketepikan memandangkan kesannya terhadap keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.
Beliau menegaskan, penghinaan terhadap mana-mana agama tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya setiap kepercayaan perlu dihormati bagi memastikan keharmonian dalam masyarakat berbilang agama terus terpelihara. - Getaran, 24 November 2026






