Perbicaraan bekas pelajar saman guru ponteng: "Plaintif mohon tukar peguam"

13 Sep 2022 • 4:22 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Kota Belud yang menyaman seorang guru, seorang Pengetua, Menteri Pendidikan dan lima lagi kerana enggan mengajar subjek Bahasa Inggeris kepadanya empat tahun lalu, memutuskan untuk menukar peguam bagi mewakilinya dalam perbicaraan.

Plaintif Siti Nafirah Siman, 22, yang perbicaraan saman sivilnya sepatutnya bermula Isnin, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Ismail Brahim bahawa dia mahu mencari peguam lain untuk kesnya.

Siti Nafirah menamakan Mohd Jainal Jamrin (guru Bahasa Inggeris), Hj Suid Hj Hanapi (atas kapasiti sebagai Pengetua SMK Taun Gusi), SMK Taun Gusi, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia serta Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam, ketujuh dan kelapan.

Terdahulu, peguam Dominic J Omok bersama peguam Roxana Jamaludin, yang sebelum ini mewakili Siti Nafirah, memohon untuk menarik diri daripada mewakili Siti Nafirah dan meminta perbicaraan ditangguhkan.

“Hari ini (Isnin) sepatutnya untuk perbicaraan, namun kami sebagai peguam plaintif ingin memohon untuk menarik diri sebagai peguam untuk perkara ini. Plaintif percaya bahawa peguam baru perlu dilantik untuk melakukan perkara ini.

“Oleh itu kami mohon agar kami dibenar menarik diri sebagai peguam untuk perbicaraan ini, dan perbicaraan ini ditangguhkan ke tarikh akan datang bagi memberi plaintif masa yang mencukupi untuk melantik peguam baharu.

“Plaintif berada di mahkamah hari ini untuk mengesahkan perkara tersebut,” kata Dominik.

Sebelum plaintif memberi keterangan, Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim yang dibantu oleh Peguam Persekutuan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir yang mewakili defendan, tidak mengemukakan bantahan untuk peguam plaintif melepaskan diri daripada mewakili plaintif.

“Kami tiada bantahan untuk permohonan itu, namun makluman ini datang pada saat akhir dan kami terkejut dengan permohonan ini kerana defendan telah pun bersedia untuk meneruskan perbicaraan hari ini (Isnin).

“Oleh itu, memandangkan perkembangan ini, kami ingin meminta kos hari ini sebanyak RM200,” kata Mohd Hafizi.

Plaintif seterusnya mengesahkan bahawa dia ingin melantik peguam baharu untuk perbicaraannya dan bersetuju membayar kos RM200.

Mahkamah membenarkan permohonan peguambela untuk menarik diri daripada mewakili plaintif dan menetapkan 11 Okt untuk sebutan lanjut.

Mahkamah juga berkata memandangkan kes itu adalah kes lama, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada Disember tahun ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nafirah berkata defendan pertama adalah seorang guru di sekolah itu dan pada setiap masa material ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris kepada pelajar di kelas 4 Perdagangan (4PD), di mana plaintif berada.

Beliau mendakwa defendan pertama gagal menghadiri dan mengajar kelas Bahasa Inggeris semasa Ketidakhadiran didakwa tersebut dan turut mendakwa defendan kedua gagal mengambil sebarang langkah munasabah untuk memastikan defendan pertama mengajar pelajar 4PD, dan dengan pengetahuan bahawa kegagalan itu akan mengakibatkan pelajar 4PD tidak bersedia untuk peperiksaan seperti yang ditetapkan oleh atau di bawah Akta Pendidikan.

Oleh itu, plaintif memohon antara lain pengisytiharan bahawa defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan lapan telah melanggar kewajipan berkanun mereka di bawah Akta Pendidikan dengan gagal; memastikan dia diajar bahasa Inggeris dalam tempoh Februari 2015 hingga Okt 2015; menyediakannya untuk peperiksaan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan.

Dia juga memohon pengisytiharan bahawa defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan kelapan melanggar kewajipan mereka di bawah Peraturan 3C, 25, 26 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1913; pengisytiharan bahawa perbuatan diadukan dilakukan oleh defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan lapan adalah sebagai misfeasans penjawat awam.

Dia juga memohon pengisytiharan bahawa defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan kelapan telah melanggar hak perlembagaannya (plaintif) untuk mendapat akses kepada pendidikan yang dijamin kepadanya di bawah Perkara 5 yang dibaca bersama Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan, serta meminta ganti rugi, kos dan apa-apa relif lanjutan dan lain-lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.