Perbincangan di Oslo redakan ketegangan AS-Ukraine

WorldPolitics
21 Oct 2026 • 7:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perbincangan di Oslo redakan ketegangan AS-Ukraine

OSLO: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan pihak Amerika Syarikat (AS) memuji rundingan di Oslo yang disifatkan amat produktif bagi meredakan krisis diplomatik antara kedua-dua negara berhubung konflik dengan Russia.

Perbincangan itu diadakan bersama utusan AS di ibu negara Norway bagi memulihkan hubungan tegang antara Kyiv dan Presiden AS, Donald Trump.

Selepas perjumpaan tersebut, Zelensky mengesahkan AS telah menyambung semula perkongsian maklumat intipan mengenai ancaman serangan Russia ke atas kawasan awam dan loji tenaga di Ukraine.

“Kami berterima kasih kerana maklumat intipan kembali berfungsi. Sistem amaran awal ini amat penting untuk keselamatan rakyat, orang awam dan kanak-kanak kerana kami kini boleh mengesan sekiranya peluru berpandu balistik dilancarkan,” kata Zelensky.

Rundingan berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store serta Presiden Finland, Alexander Stubb.

Seorang pegawai AS memberitahu AFP, Zelensky mengadakan perbincangan yang membina bersama utusan khas Trump, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner yang menyertai perjumpaan itu secara dalam talian kerana mengalami selsema.

Menurut pegawai itu lagi, pihak Ukraine mengemukakan beberapa idea dan cadangan baharu sepanjang rundingan tersebut.

Selesai rundingan di Oslo, Witkoff dijadualkan berlepas ke Russia pada Rabu untuk bertemu Presiden, Vladimir Putin bagi meneruskan usaha menamatkan perang di Ukraine yang kini memasuki tahun keempat.

Hubungan antara Washington dan Kyiv sebelum ini berdepan ketegangan meruncing selepas Trump memeterai perjanjian bekalan diesel dengan Putin bagi menangani lonjakan harga minyak akibat perang Iran.

Selain membatalkan sekatan terhadap Russia, Trump turut menuntut Zelensky digantikan selepas Ukraine enggan menghentikan serangan ke atas kilang penapis minyak Russia.

Pertikaian itu semakin memuncak apabila Zelensky menuduh Trump bersikap lemah, selain mendakwa AS sengaja menyekat maklumat intipan penting dan melengah-lengahkan penghantaran peluru berpandu pemintas.

Ukraine juga melaporkan kelajuan capaian Starshield iaitu sistem satelit ketenteraan AS yang digunakan untuk komunikasi medan perang telah dikurangkan.

Meskipun rundingan di Oslo menunjukkan perkembangan positif, Trump dari Rumah Putih terus mendesak Zelensky supaya mencapai kesepakatan dengan Russia, ketika Moscow meningkatkan serangan menjelang musim sejuk.

Trump yang minggu lalu pernah mendesak Zelensky meletakkan jawatan, turut mengkritik pemimpin Ukraine itu kerana menolak syarat penyelesaian yang ditawarkan semasa pertemuan mereka di Pejabat Oval pada Februari 2025. -AFP

The post Perbincangan di Oslo redakan ketegangan AS-Ukraine appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved