
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan mengenai pengiktirafan graduan lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah diadakan sejak berpuluh tahun, iaitu sejak beliau menjadi Menteri Pendidikan.
Justeru Perdana Menteri memberitahu, keputusan terbaharu kerajaan melibatkan graduan UEC dilaksanakan susulan perubahan dari segi sikap dan penerimaan sejak 40 tahun lalu.
Bagaimanapun beliau menegaskan, antara syarat utama bagi melayakkan mereka mendapat tempat di universiti awam ialah wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Masa saya Menteri Pendidikan dan Tan Sri Rahman Arsyad (sebagai) Ketua Pengarah Pendidikan, dalam pertemuan dengan wakil guru dan pemimpin persatuan sekolah tersebut puluhan tahun lalu, mereka enggan berbicara sepatah pun dalam Bahasa Melayu.
“Tan Sri Rahman Arsyad bisik pada saya, minta maaf pada saya kerana terpaksa keluar kerana tidak tahan sikap sedemikian dan tidak dapat bertolak ansur.
‘Saya mengerti kerana pertembungan sekolah persendirian Cina dengan dasar pendidikan kebangsaan. Itu 40 tahun yang lalu,’’ katanya ketika berucap pada sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di sebuah hotel di Ipoh, hari ini.
Namun kini, ujar beliau, situasi tersebut sudah berubah sepenuhnya selaras dengan semangat perpaduan dan keterbukaan dalam sistem pendidikan negara.
“Pertemuan sekarang semua wakil cakap dalam Bahasa Melayu. Sekolah persendirian ini lebih 80 peratus ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),’’ katanya.
Beliau turut memberitahu, Kabinet telah bersetuju untuk membenarkan pelajar dari sekolah UEC, institusi tahfiz, sekolah aliran Arab dan sekolah antarabangsa mengikuti kursus universiti terpilih, tertakluk kepada syarat melibatkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Sekarang ini sekolah antarabangsa kita letak syarat kan? (syarat sama), sekolah antarabangsa itu anak-anak Melayu ramai, anak-anak Malaysia. Jadi kita syaratkan yang sama.
"Maahad Tahfiz dan sekolah Arab yang dulunya mengajar semua kurikulum dalam bahasa Arab tetapi tidak memberi penekanan tentang bahasa Melayu dan sejarah, kita berikan syarat yang sama. Itulah sebabnya mengapa kita buat keputusan (beri laluan kepada UEC),” kata Anwar. - 16 Mei, 2026
The post Perbincangan isu UEC dulu gagal kerana pertembungan sistem pendidikan: PM appeared first on Scoop.






