‘Tunggang’ tahfiz untuk benarkan UEC masuk IPTA?

LocalPolitics
16 May 2026 • 8:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Tunggang’ tahfiz untuk benarkan UEC masuk IPTA?
Laporan muka depan Sinar Harian siaran Sabtu

POLEMIK pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali memanaskan suhu politik pendidikan negara apabila kerajaan didakwa cuba ‘menunggang’ institusi tahfiz bagi mempermudah laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Kontroversi itu tercetus susulan pengumuman kerajaan yang membuka peluang kemasukan ke IPTA kepada lepasan sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) untuk mengikuti program pengajian tertentu.

Walaupun kerajaan menegaskan langkah tersebut bukan pengiktirafan penuh terhadap UEC, penggabungan lepasan tahfiz dan UEC dalam satu naratif dasar tetap mencetuskan reaksi pelbagai pihak khususnya dalam kalangan nasionalis Melayu dan pembangkang.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari antara yang terawal lantang mengkritik pendekatan itu apabila mendakwa kerajaan menggunakan 'silap mata' bagi mengaburi agenda sebenar berkaitan UEC.

Malah, hantaran media sosial beliau yang menggunakan frasa 'tunggang' turut menghangatkan lagi polemik tersebut.

Bagi Pas, pelajar tahfiz sememangnya sudah berada dalam kerangka sistem pendidikan nasional selain majoritinya turut menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus mempersoalkan mengapa isu tahfiz perlu dikaitkan bersama UEC.

Pandangan sama turut disuarakan Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Mohd Nor Hamzah yang menyifatkan tindakan mencampuradukkan isu tahfiz dan UEC sebagai ‘helah kosmetik’ yang boleh membawa implikasi lebih besar terhadap masa depan sistem pendidikan negara.

Turut senada adalah daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menegaskan kemasukan ke IPTA perlu kekal berasaskan SPM tanpa pengecualian kepada mana-mana aliran pendidikan.

Bagi kelompok yang menentang pengiktirafan UEC, isu itu bukan sekadar soal akses pendidikan tetapi ia turut melibatkan kedudukan Bahasa Melayu, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan agenda perpaduan nasional.

Atas faktor itu, penggunaan naratif tahfiz dalam pengumuman kerajaan dilihat mempunyai implikasi politik tersendiri memandangkan institusi tersebut memiliki nilai simbolik yang tinggi dalam masyarakat Melayu-Islam.

Apabila lepasan tahfiz dikaitkan bersama UEC dalam satu kerangka dasar, ia secara tidak langsung menimbulkan persepsi bahawa kerajaan cuba mendapatkan penerimaan masyarakat Melayu terhadap agenda yang selama ini ditolak sebahagian kelompok nasionalis.

Dalam masa sama, kerajaan mempertahankan langkah tersebut sebagai pendekatan inklusif bagi memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelbagai aliran pelajar tanpa menjejaskan syarat asas kemasukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan syarat lulus Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat SPM tetap dikenakan kepada calon terlibat.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula berpandangan pendekatan itu mampu membuka ruang lebih adil kepada pelajar lepasan UEC yang mempunyai kelayakan akademik, khususnya dalam bidang tertentu.

Namun, dalam landskap politik semasa, isu pendidikan sering melangkaui soal akademik semata-mata.

Sebaliknya, ia turut menyentuh soal identiti nasional, bahasa, kaum dan kepercayaan terhadap hala tuju dasar negara.

Walaupun kerajaan menegaskan tiada pengiktirafan automatik diberikan kepada UEC, cara pengumuman tersebut dibuat dilihat membuka ruang kepada tafsiran politik sehingga mencetuskan polemik baharu mengenai dakwaan ‘tunggang tahfiz’.