BATU PAHAT – Perbincangan mengenai bentuk kerjasama parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka akan datang perlu dipercepatkan bagi memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri dalam Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelbagai telahan politik mula dibuat susulan Melaka dan Johor bakal mengakhiri penggal masing-masing.
"Saya tidak mempunyai “crystal ball” untuk meramalkan masa depan, namun saya berharap sebarang keputusan yang dibuat kelak adalah yang terbaik untuk negeri dan negara.
"Saya juga bersetuju perbincangan perlu dipercepatkan supaya semua pihak mempunyai kejelasan dalam menghadapi cabaran pilihan raya. Perbincangan di peringkat nasional memang perlu dan sudah pun dimulakan.
“Harusnya perbincangan ini diadakan segera supaya kita dapat bersedia dengan lebih jelas untuk menghadapi cabaran pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Raya Parlimen Sri Gading di Dewan Haji Aminolhuda, Parit Yaani di sini pada Sabtu.
Menteri Kesihatan itu berkata, kestabilan politik dan kerjasama sedia ada perlu diberi keutamaan berbanding kepentingan politik sempit bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas.
“Sebagai parti politik, kita sentiasa berunding dan bernegosiasi. Yang penting, sebarang keputusan nanti mestilah yang terbaik untuk negeri dan negara.
"Daripada perspektif Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri, saya yakin jika kerjasama ini dikekalkan, tidak ada mana-mana parti pembangkang yang mampu mencabar.
"Ini kerana kita mempunyai gandingan kerja yang baik, prestasi ekonomi yang stabil, pelaburan asing dan domestik yang terus meningkat, inflasi yang terkawal serta nilai mata wang yang kukuh," katanya.
Sementara itu Pengerusi Pakatan Harapan Johor yang juga Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini juga perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan berkaitan pilihan raya dibuat.
Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, konflik luar serta peningkatan kos tenaga memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan termasuk subsidi yang meningkat ketara.
“Dalam suasana ekonomi yang mencabar, kestabilan politik amat penting supaya fokus dapat diberikan kepada pembangunan negara dan kebajikan rakyat,” katanya.


