KAMPAR – Pas menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak bersikap emosi dalam menangani kritikan pembangkang berhubung isu semasa negara.
Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, kenyataan pemimpin kerajaan perlu konsisten dan tidak bercanggah dengan pendirian terdahulu, khususnya berkaitan isu ekonomi dan pengurusan negara.
Menurutnya, pembangkang sebelum ini telah lebih awal menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dalam mendepani krisis melibatkan ekonomi, keselamatan dan kesihatan.
**media[3482267]**
"Ini isu bersama, bukan isu politik semata-mata. Tetapi yang menjadi persoalan apabila kenyataan yang dibuat sekarang berbeza dengan apa yang pernah disebut sebelum ini.
"Jadi, dia (Anwar) ini janganlah emosi kan, nampak macam emosi, steady-lah kan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika Jamuan Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pas Perak di Kompleks Pendidikan Islam Darul Muttaqin, Malim Nawar di sini pada Ahad.
Idris yang juga Pesuruhjaya Pas Perak berkata, ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani krisis Covid-19, Anwar antara paling lantang mengkritik usaha kerajaan.
"Isu ini samalah macam isu Covid-19 dulu. Dulu awak tuduh kami, sekarang ini kita nak tengok macam mana awak urus negara.
"Macam mana dulu zaman Perikatan Nasional awak gasak habis-habisan pasal Covid-19. Covid-19 isu krisis kesihatan, sekarang ini krisis ekonomi," katanya.
Mengulas lanjut, Idris berkata, Pas tidak menolak kemungkinan untuk menghadiri sebarang pertemuan yang diadakan kerajaan bagi membincangkan isu berkenaan.
Namun, katanya, pendekatan lebih menyeluruh seperti sidang khas Parlimen wajar dipertimbangkan supaya semua 222 Ahli Parlimen dapat menyumbang idea secara konstruktif.
Dalam pada itu, Idris turut membangkitkan isu ketelusan dalam pelaksanaan inisiatif kerajaan termasuk program Madani Mart yang menurutnya menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
Katanya, walaupun inisiatif membantu rakyat disambut baik, aspek pengurusan dan pelaksanaan perlu dilakukan secara telus bagi mengelakkan persepsi negatif.
Semalam media melaporkan Anwar membuka ruang seluas-luasnya kepada pembangkang serta mana-mana pihak yang berhasrat untuk berbincang bagi membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian menangani krisis tenaga global.
Beliau menegaskan, sebarang teguran atau komentar berhubung pengurusan ekonomi negara, terutama membabitkan isu kenaikan harga minyak dunia, seharusnya dilakukan berdasarkan ilmu serta fakta yang tepat, dan bukannya sekadar kritikan kosong.



