Perbincangan Untuk Membangunkan Kilang Pengeluaran Cip Terafab Bermula – Dijangka Beroperasi Pada 2029

TechnologyStartup
16 Apr 2026 • 2:47 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada penghujung bulan Mac, Elon Musk telah mengumumkan bahawa beliau sedang dalam perancangan untuk membuka sebuah kilang pengeluaran cip semikonduktor sendiri, Projek Terafab supaya syarikat-syarikat seperti SpaceX dan Tesla AI boleh menggunakan cip-cip pemprosesan baru sendiri pada kadar yang lebih cepat.

Terkini, Bloomberg telah melaporkan bahawa mereka yang bertanggungjawab telah memulakan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuklah Applied Materials, Tokyo Electron, Lam Research dan Samsung Electronics untuk sokongan tentang apakah cara paling cekap untuk membangunkan dan memastikan bahawa operasi kilang ini sentiasa pada tahap optima.

Intel juga dilaporkan akan menawarkan khidmat mereka untuk membolehkan kilang Terafab ini mula menghasilkan cip pemprosesan pada kadar sepantas yang mungkin.

Image from: Perbincangan Untuk Membangunkan Kilang Pengeluaran Cip Terafab Bermula – Dijangka Beroperasi Pada 2029

Dalam pada itu, mereka juga telah mula mendekati syarikat-syarikat pembuat kelengkapan yang diperlukan untuk menghasilkan cip-cip pemprosesan tersebut. Salah satu sebab mengapa kilang Terafab ini perlu dibuka, menurut Elon Musk ialah untuk mempercepatkan proses kitaran pengenalan cip baru.

Beliau beranggapan bahawa jika mereka mempunyai kapasiti pengilangan cip semikonduktor sendiri, proses tersebut boleh dipercepatkan dari 12 bulan ke 9 bulan dari mula ke pengakhiran, dan ini akan membolehkan teknologi AI mereka dikeluarkan ke pasaran secara lebih pantas.

Elon Musk juga menjangkakan bahawa kilang Terafab ini akan mula beroperasi dan menghasilkan cip pemprosesan pertama mereka pada tahun 2029 kelak, dan akan beroperasi pada tahap optima tidak lama selepas itu.