Percaturan PH-BN Di Kedah Tidak Menjadi, Kerajaan Negeri Milik PN 

Politics
12 Aug 2023 • 11:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ibu Pejabat UMNO Kedah kosong susulan kekalahan PH-BN - gambar Rafisqi Radhi

ALOR SETAR - Ketika ruangan di tingkat lapan, Bangunan Tunku yang menempatkan Ibu Pejabat UMNO Kedah kosong tanpa kehadiran mana-mana pemimpin, lain pula suasana di Kompleks PAS di sini apabila premis itu meriah dengan kehadiran penyokong. 

Setakat jam 11.07 malam, PN sah mencatatkan kemenangan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN), apabila mengungguli 33 daripada 36 kerusi dipertandingkan.. 

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew turut tumbang kepada lawan masing-masing mengikut kiraan tidak rasmi.  

Berdasarkan keadaan semasa, tiada seorang pun daripada calon Melayu dari BN serta PH berjaya memenangi kerusi DUN Kedah.  

image is not available
Kompleks PAS Kedah meriah dengan kehadiran penyokong - gambar Rafisqi Radhi

Satu-satunya kerusi yang dimenangi PH adalah di Kota Darul Aman melalui Teh Swee Leong dari DAP. 

Antara kawasan DUN yang dimenangi PN mengikut kiraan tidak rasmi adalah Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Lada, Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Sungai Limau, Guar Chempedak dan Gurun.  

Kerusi lain yang turut dimenangi PN asdalah Belantek, Jeneri, Bayu, Kupang, Kuala Ketil, Merbau Pulas, Kulim, Bandar Baharu, Ayer Hangat, Kuah dan Suka Menanti.   

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencatat kemenangan rasmi dengan majoriti lebih 16,050 undi menewaskan calon BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim di DUN Jeneri. - Getaran 12 Ogos 2023