
KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih hoki negara A. Arul Selvaraj (gambar) menggesa pemainnya supaya percaya kepada kemampuan diri ketika berhadapan dengan cabaran New Zealand pada aksi terakhir Kumpulan C kejohanan Piala Dunia di Stadium Kalinga, Bhubaneswar di India, hari ini.
Arul Selvaraj turut mahukan anak buahnya percaya dan yakin terhadap kemampuan rakan sepasukan bagi memastikan Malaysia di ranking ke-11 dunia dapat meraih keputusan positif ke atas lawan yang menghuni posisi kesembilan itu.
“Saya rasa itu satu formula yang paling baik untuk kita keluar bermain, kita kena percaya diri kita dan juga mempunyai kepercayaan tinggi terhadap fizikal dan mental masing-masing. Saya jangka New Zealand akan beraksi dengan agresif untuk menekan kita dengan hebat.
“Jadi kepercayaan itu diperlukan untuk kita keluar daripada situasi tekanan dan dapat bermain, kita perlu bermain mengikut tahap kekuatan pasukan dan pihak lawan,” katanya menerusi klip audio yang dikongsikan kepada media tempatan di sini, semalam.
Sementara itu, Arul Selvaraj mengesahkan penyerang Shahmie Irfan Suhaimi dipanggil menyertai pasukan di India bagi menggantikan Muhammad Shahril Saabah yang mengalami kecederaan ketika aksi kedua kumpulan menentang Chile Isnin lepas sekali gus tidak dapat beraksi hari ini.
“Beliau (Shahmie Irfan) mempunyai keupayaan teknikal untuk mara ke hadapan, seorang pemain penyerang yang mempunyai keyakinan tinggi, jadi kita nak dia datang sertai pasukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Arul Selvaraj berkata pasukannya memberikan tumpuan terhadap aspek taktikal bagi mengekang cabaran New Zealand dan strategi pukulan sudut penalti dalam sesi latihan semalam.
Selepas dua perlawanan, Belanda di puncak Kumpulan C dengan mengumpul enam mata diikuti New Zealand dan Malaysia yang berkongsi tiga mata di posisi kedua dan ketiga sementara Chile tercorot tanpa mata.
Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati, untuk slot ke suku akhir. -Bernama

