Bulan akan menjadi batu loncatan untuk manusia mengembara ke Marikh dan meneroka galaksi seperti karya sains fiksyen. Ini mendorong Amerika, China, India dan Rusia untuk mengembalikan semula angkasawan ke permukaannya dalam dekad ini.

Jepun mempunyai aspirasi yang sama menerusi kerjasama NASA tetapi syarikat swasta ispace Inc ingin menjadi syarikat pertama mendaratkan proba ke permukaan bulan. Percubaan kedua mereka yang dilakukan awal pagi tadi walau bagaimanapun berakhir dengan kegagalan.
Misi Mission 2 SMBC x HAKUTO-R Venture Moon dilakukan menggunakan kenderaan pendaratan RESILIENCE. Ia mula melakukan pergerakan untuk mendarat daripada ketinggian 100 km ke 20 km sekitar jam 3 pagi tadi. Semuanya berjalan lancar sebelum komunikasi dengan pusat kawalan terputus secara mengejut. Pada jam 8 pagi waktu Jepun, pusat kawalan memutuskan bahawa komunikasi dengan RESILIENCE tidak dapat dipulihkan dan oleh itu misi dianggap telah gagal.

Pusat kawalan mengesahkan sistem laser yang mengukur jarak ke permukaan bulan mengalami masa pendam. Ini dipercayai menyebabkan jarak ke permukaan bulan tidak dapat dilakukan dengan tepat sekaligus menyebabkan RESILIENCE terhempas.
Percubaan pertama ispace untuk melakukan pendaratan pada April 2023 berakhir dengan kegagalan dengan telemetri menunjukkan kenderaan pendaratan memecut sebelum terhempas. Kegagalan misi ini membuka peluang kepada Intuitive Machines untuk menjadi syarikat swasta pertama berjaya melakukan pendaratan di bulan pada Februari 2024 menggunakan kenderaan pendaratan Nova-C Odysseus.
