
Jika anda sedang mencari destinasi percutian yang eksklusif dan jauh daripada hiruk-pikuk kota, The Westin Langkawi Resort & Spa adalah pilihan yang tidak akan mengecewakan.

Terletak di pesisir pantai tropika menghadap Laut Andaman, resort lima bintang ini menawarkan gabungan kemewahan moden dan keindahan alam semula jadi yang mempesona. Setiap detik di resort ini membuatkan anda terlupa dengan rutin harian yang menyesakkan minda.
Segala yang indah bermula sebaik sahaja tetamu melangkah masuk ke ruang lobi yang luas dan terbuka.
Anda akan disambut dengan senyuman mesra dan minuman selamat datang bagi menyegarkan badan.
Untuk mereka yang menghargai privasi dan keselesaan maksimum, vila peribadi adalah pilihan ideal.

Dengan reka bentuk moden berinspirasikan tropika, lengkap dengan lantai kayu, ruang tamu terbuka dan kolam renang peribadi, setiap detik di vila persendiran ini terasa eksklusif dan damai.
Keindahan lebih terasa jika vila menghadap laut kerana pemandangan laut yang terbentang luas di depan mata akan membuatkan diri terbuai dek keindahannya.
Setiap vila mahupun bilik-bilik jenis lain dilengkapi dengan katil Heavenly® Bed, bilik mandi marmar mewah, dan lain-lain kemudahan moden untuk memanjakan tetamu.
Manjakan Lidah Dengan Hidangan Menyelerakan
Jika ingin bersembunyi di The Westin Langkawi Resort & Spa, bermakna anda sudah bersedia untuk pengembaraan kulinari yang menyelerakan. Tak perlu bimbang, hidangan di resort ini disediakan dengan penuh teliti oleh barisan cef berbakat.
Nikmati sarapan antarabangsa di Seasonal Tastes atau makan malam eksklusif di Tide, restoran tepi pantai yang menyajikan makanan laut segar dengan suasana romantis sambil menyaksikan matahari melabuhkan tirainya atau saksikan keindahan bulan dan bintang yang bertaburan di langit.

Jika inginkan suasana yang lebih peribadi, pihak resort juga boleh sediakan makan malam khas terus di vila anda. Hanya perlu buat tempahan awal.
Selain dua restoran ini, terdapat dua lagi lokasi selera yang boleh dikunjungi iaitu Splash Bar untuk snek dan minuman menyegarkan di tepi kolam renang dan Breeze Lounge untuk minum petang atau koktel sambil menikmati hembusan angin laut.
Rehat Dan Rawat Diri Di Heavenly Spa By Westin
Untuk merehatkan tubuh dan minda, jangan lepaskan peluang mencuba rawatan di Heavenly Spa by Westin yang terkenal dengan kehebatan layanan dan kualiti rawatannya.
Terletak bersebelahan laut, ruang spa ini menawarkan privasi dan ketenangan yang sukar ditandingi. Ini juga salah satu faktor mengapa ia menjadi sebutan ramai.

Antara pakej rawatan istimewanya termasuklah urutan aromaterapi dan lulur badan. Setiap pakej rawatan badan akan dimulakan dengan sesi urutan kaki yang melegakan. Alunan muzik yang memenuhi ruang membuatkan diri terbuai seketika.
Seterusnya, biarkanlah jari-jemari terapis profesional menjalankan tugasnya. Anda hanya perlu serahkan kepercayaan dan nikmati suasana penuh ketenangan. Usai rawatan, petugas spa menghidangkan teh herba bersama biskut enak.
The Westin Langkawi juga mempunyai pantai persendirian, kolam renang infiniti dan perkhidmatan concierge peribadi yang boleh mengatur aktiviti seperti pelayaran persendirian, pelbagai aktiviti air, atau ‘island hopping’ mengikut permintaan.

Sama ada untuk meraikan sesuatu yang istimewa, merehatkan diri atau mahu meluangkan masa berkualiti tanpa gangguan, The Westin Langkawi Resort & Spa menjanjikan satu pengalaman yang tidak mudah dilupakan.
Untuk tempahan dan maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang rasmi hotel ini di sini. - Getaran, 31 Julai 2025
Foto : Rahayu MN

