Percutian Merentasi Masa, Perlahan Di Temple Tree Resort, Langkawi

LocalTravel
29 Aug 2025 • 7:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Dari saat kaki melangkah masuk ke kawasan Temple TreeResort, Langkawi, hati sudah terdetik, ini bukan sekadar penginapan, tetapi sebuah percutian yang merentasi masa. 

Terletak hanya beberapa minit dari Pantai Cenang yang popular, Temple Tree Resort menawarkan sesuatu yang jauh lebih peribadi dan unik. 

image is not available

Terdiri daripada gabungan rumah-rumah bersejarah yang dipindahkan dari seluruh Malaysia dan dipulihkan dengan penuh teliti, tetamu pasti terpesona dan mahu menghabiskan lebih banyak masa di resort ini.

Satu perkata yang anda harus tahu, Temple Tree Resort telah dua kali berturut-turut memenangi anugerah TTG Travel Awards untuk kategori Butik Hotel Terbaik iaitu pada tahun 2023 dan 2024. 

Pesona Warisan Dalam Suasana Tropika 

Temple Tree bukanlah seperti resort biasa. Ia adalah koleksi rumah-rumah kolonial, peranakan dan tradisional Melayu yang berusia lebih 70 hingga 100 tahun, setiap satu membawa ceritanya sendiri. 

Nama-mana setiap rumah seperti Straits House, Colonial House, Johor House dan Penang House bukanlah hanya sekadar nama, tetapi ia merujuk kepada identiti dan sejarah sebenar rumah tersebut.

image is not available
Rumah Negeri Sembilan

Ketika berkunjung ke sini, saya berpeluang bermalam di Rumah Negeri Sembilan yang dibawa dari Mantin, Negeri Sembilan,

Rumah Melayu yang indah ini dibina pada tahun 40-an, dan ia adalah rumah yang lengkap dengan ruang tamu, ruang makan dan anjung luar yang luas, sesuai untuk berkumpul seisi keluarga dan juga berbual-bual dengan teman-teman. 

Bilik tidurnya yang luas lengkap dengan tab mandi kayu, bilik air berasingan dan terdapat juga bilik tidur bersebelahan dengan dua katil single. 

image is not available
Ruang tamu Rumah Negeri Sembilan

Deretan jendela kaca berwarna di ruang tamu menjadikan rumah ini dilimpahi dengan cahaya semula jadi dan berangin pada waktu siang, cukup sempurna untuk bersantai sambil menikmati secawan kopi. 

Mengintai ke luar  jendela, deretan pokok yang menghijau mendamaikan damai dan melapangkan fikiran.

Menurut Pengurus Besar Resort, Irene Vairo, percutian di Temple Tree Resort menjanjikan pengalaman yang berbeza berbanding resort-resort yang ada di Langkawi. Jelasnya, di sini tetamu bagaikan dibawa mengembara ke zaman dahulu. 

“Memang bukan mudah untuk menguruskan tempat ini. Setiap rumah memerlukan penjagaan yang rapi kerana ia sudah berusia. Kami di sini sentiasa melakukan restorasi bagi memastikan tetamu boleh menikmati sebuah percutian mengasyikkan setiap kali datang ke sini,” ujar Irene.

image is not available
Kolam renang

Bermalam di Temple Tree Resort, bermakna anda sudah bersedia untuk melalui hari yang ‘perlahan’. Tak perlu bergegas ke sana-sini, hanya bermalas-malasan di bilik atau berendam di kolam renang yang menjadi ‘spot’ kegemaran ramai untuk bergambar. 

Jika mahu meneroka Langkawi, petugas resort dengan senang hati mencadangkan senarai aktiviti menarik yang boleh anda lawati. 

Tepuk dada, tanya selera! Yang mana satu menjadi pilihan hati. 

Hidangan Memikat Selera Di Paloh Restaurant & Bar 

Ini ialah satu-satunya lokasi selera yang tersedia di Temple Tree Resort, Langkawi. Restoran ini bukan sahaja dipenuhi oleh tetamu resort untuk menjamu selera, tetapi ia juga popular dalam kalangan pengunjung yang bercuti ke Langkawi. 

image is not available
Kopi kampung di Paloh Restaurant & Bar

Terletak bersebelah dengan lobi, di dalam Ipoh House yang berusia lebih 100 tahun, restoran ini menggabungkan warisan, nostalgia dan citarasa pelbagai budaya Malaysia di dalam masakannya. 

Nama ‘Paloh’ bukan sekadar sebutan unik, malah mempunyai kisah tersendiri yang merujuk kepada empangan kecil atau kawasan memancing di Sungai Kinta, Perak – yang dikenali sebagai ‘Pa-Lo’ dalam dialek Kantonis. 

Tetamu boleh memulakan hari dengan sarapan pagi menyelerakan secara bufet bermula jam 8 pagi hingga jam 11.30 pagi. Deretan menu yang menanti memang tidak mengecewakan.

image is not available
Nachos untuk kudapan

Jangan sesekali lepaskan peluang menikmati ‘kopi kampung’ dan nasi lemak bungkus. Kedua-dua menu ini memang popular dalam kalangan tetamu dek kelazatannya. Aroma kopi yang wangi mampu meningkatkan mood dan membuatkan hati berbunga-bunga, manakala nasi lemak bungkus pula mengimbau zaman kanak-kanak ketika bersarapan dengan nenek.

Selain itu, terdapat juga ‘Floating Breakfast’ yang dihidangkan terus di dalam kolam renang, khusus untuk tetamu hotel yang inginkan pengalaman unik. Tawaran ini hanya tersedia untuk tetamu yang bermalam dan tempahan awal diperlukan. Percayalah, anda tidak akan menyesal dan ia juga sangat Instagram-worthy! 

image is not available
Set ikan bakar

Ada banyak lagi pilihan makanan menanti untuk makan tengah hari, malam dan snek. Antara yang mesti dicuba ialah set ikan bakar dan set asam pedas yang memiliki rasa asli yang memikat. 

image is not available
Paloh Scotch Egg

Boleh juga cuba Paloh Scotch Egg untuk sensasi rasa yang berbeza. Menu ini merupakan telur rebus lembut yang dibalut dengan pati daging lembu yang berjus. 

Untuk pilihan manis, saya sangat mengesyorkan brownie coklatnya. 

Dihidangkan bersama aiskrim vanila, brownie ini mewah dengan rasa yang meletus di dalam mulut. Cukup membahagiakan!

Bagi yang ingin menikmati suasana romantik, konsep makan malam Dining Under the Stars menawarkan suasana alfresco yang memukau, sesuai untuk sambutan istimewa. 

Tidak ketinggalan, set ‘High Tea’ yang berharga RM78 untuk dua orang. Boleh nikmatinya bersama yang tersayang di restoran atau pilih mana-mana lokasi di sekitar resort untuk lebih privasi.

Kesimpulannya, Temple Tree Resort, Langkawi bukan hanya tempat untuk tidur, ia adalah tempat untuk menyembuyikan diri sambil menikmati, menyelami dan menghargai warisan Malaysia dalam suasana tropika yang santai.

image is not available
Rumah Pulau Pinang

Ia pilihan sempurna untuk mereka yang mengimpikan sebuah destinasi unik dan mengimbau nostalgia. 

Beberapa tip untuk yang bercadang ke sini - buat tempahan lebih awal, terutama pada musim cuti. Ini kerana unit adalah terhad dan popular dalam kalangan pelancong Eropah. Bawa kamera yang bagus untuk merakam memori kerana setiap sudut di resort ini kelihatan cantik dan ‘Instagrammable’! - Getaran, 29 Ogos 2025