
KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan dan borong Malaysia bagi November 2023 meningkat sebanyak 6.2 peratus tahun ke tahun kepada RM142.6 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin (gambar) berkata peningkatan itu dipacu oleh subsektor perdagangan borong yang menokok 6.2 peratus atau RM3.7 bilion kepada RM63.2 bilion.
“Perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatat 4.4 peratus atau RM2.6 bilion kepada RM61.3 bilion dan diikuti oleh kenderaan bermotor yang tumbuh dua digit sebanyak 12.7 peratus atau RM2.0 bilion pada RM18.1 bilion,” katanya dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit, November 2023, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Mohd Uzir berkata peningkatan marginal 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh perdagangan runcit yang meningkat sebanyak 1.2 peratus.
Bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing merekodkan pertumbuhan negatif -1.6 peratus dan -0.2 peratus.
Dari segi prestasi mengikut subsektor, beliau berkata pertumbuhan 6.2 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong didorong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM2.1 bilion atau 9.3 peratus kepada RM24.2 bilion.
“Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (5.2 peratus), jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (9.5 peratus), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (2.3 peratus), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (2.6 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (3.3 peratus) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (4.1 peratus).
“Sebaliknya bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong susut -0.2 peratus terutamanya oleh lain-lain pengkhususan jualan borong (-1.1 peratus), jualan borong barangan isi rumah (-1.5 peratus) dan jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (-1.1 peratus),” katanya.
Mohd Uzir berkata subsektor perdagangan runcit mencatat kenaikan 4.4 peratus tahun ke tahun pada bulan berkenaan, disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 6.5 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM23.4 bilion.
Pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12.7 peratus dicatatkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 13.5 peratus atau RM1.2 bilion kepada RM10.0 bilion dan diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (14.5 peratus) serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (16.3 peratus).
Sebaliknya bagi perbandingan bulanan, beliau berkata subsektor ini merosot -1.6 peratus disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor (-2.8 peratus) dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (-3.2 peratus).
“Indeks jualan runcit melalui internet jatuh -1.0 peratus tahun ke tahun pada November 2023 berbanding -0.3 peratus bagi Oktober 2023. Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini merosot -4.4 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya. -Bernama



